Gaza bakal 'hilang generasi', 660,000 kanak-kanak tidak bersekolah - Utusan Malaysia

Gaza bakal ‘hilang generasi’, 660,000 kanak-kanak tidak bersekolah

KANAK-kanak Palestin duduk di sebelah bekas berisi makanan di kem Jabalia di utara Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Agensi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi pelarian Palestin (UNRWA) mengeluarkan amaran keras mengenai masa depan pendidikan di Gaza, apabila lebih 660,000 kanak-kanak dinafikan hak bersekolah buat tahun ketiga berturut-turut ketika perang Israel yang dahsyat hampir mencecah dua tahun, lapor Anadolu.

“Perang di Gaza adalah perang terhadap kanak-kanak dan ia mesti dihentikan. Kanak-kanak perlu dilindungi pada setiap masa,” kata UNRWA dalam kenyataan, sambil memberi amaran bahawa golongan muda di Gaza kini berisiko menjadi generasi hilang.

Sementara sekolah di Tebing Barat dijadual dibuka semula pada 1 September, bilik darjah di Gaza masih ditutup.

Kementerian Pendidikan Palestin memaklumkan kira-kira 700,000 pelajar di Gaza terpaksa menghentikan persekolahan akibat pengeboman, dengan lebih 70,000 pelajar tidak dapat menduduki peperiksaan sekolah menengah selama dua tahun berturut-turut.

Menurut data kementerian, serangan Israel sejak Oktober 2023 telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 17,000 pelajar sekolah dan lebih 1,200 pelajar universiti di Gaza, selain mencederakan puluhan ribu yang lain.

Di Tebing Barat yang diduduki, puluhan pelajar turut terbunuh, cedera atau ditahan oleh tentera Israel dalam tempoh sama.

Kesan perang juga melibatkan tenaga pengajar. Hampir 1,000 guru dan kakitangan akademik terbunuh di Gaza, manakala ribuan lagi cedera atau ditahan di seluruh wilayah Palestin.

Secara keseluruhan, Israel telah membunuh lebih 63,400 rakyat Palestin di Gaza sejak Oktober 2023. Serangan ketenteraan itu turut memusnahkan wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga sedang berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung perang ke atas wilayah tersebut.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN