FPA kecam Israel halang akses bebas media antarabangsa di Gaza

FPA kecam Israel halang akses bebas media antarabangsa di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Persatuan Akhbar Asing (FPA) mengecam Israel kerana terus menafikan akses bebas kepada wartawan asing hampir dua tahun selepas perang di Gaza tercetus.

“Israel mesti berhenti membunuh wartawan di Gaza dan memberikan akses bebas serta tidak terbatas kepada media asing ke wilayah itu,” kata persatuan yang dianggotai lebih 350 wartawan asing yang beroperasi di Israel dan wilayah Palestin.

Menurut FPA, kelewatan berterusan dalam memberi akses ini merupakan satu titik hitam memalukan bagi Israel dan sekutunya yang sering enggan mempertahankan kebebasan asas media. Seorang wartawan AFP turut menganggotai lembaga pengarah FPA.

Persatuan itu menegaskan, Mahkamah Agung Israel berulang kali menangguhkan perbicaraan berhubung petisyen mereka yang menuntut akses ke Gaza.

“Sudah setahun penuh sejak kami menyerahkan petisyen kedua kepada Mahkamah Agung Israel untuk akses bebas ke Gaza, namun meskipun isu ini mendesak, mahkamah berulang kali menuruti permintaan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan,” kata kenyataan tersebut.

FPA juga mengecam tindakan Israel menyasarkan wartawan Palestin yang bertugas di dalam Gaza.

“Wartawan Palestin telah menjadi sasaran secara langsung. Lokasi-lokasi di mana mereka sering berkumpul turut dibom.

“Walaupun berdepan bahaya, mereka terus menyampaikan maklumat kepada dunia sambil menghadapi keganasan, kelaparan dan pengusiran berulang kali,” kata FPA, sambil menambah sekurang-kurangnya 200 wartawan terbunuh akibat serangan Israel.

Bulan lalu, serangan udara Israel ke atas sebuah hospital di Gaza mengorbankan lebih 20 orang, termasuk lima wartawan, menurut pihak berkuasa tempatan.

FPA turut mengkritik kepimpinan politik dan tentera Israel kerana berusaha keras untuk menggugat kredibiliti laporan wartawan Palestin, malah melibatkan liputan media asing secara keseluruhan.

“Kempen delegitimasi ini mewujudkan suasana kerja yang berbahaya bagi wartawan, sehingga menormalisasikan hasutan, gangguan dan serangan terhadap media asing baik daripada orang awam Israel mahupun anggota pasukan keselamatan,” kata badan pemerhati itu. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN