Flotila bawa bantuan ke Gaza berlepas semula dari Barcelona - Utusan Malaysia

Flotila bawa bantuan ke Gaza berlepas semula dari Barcelona

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARCELONA: Sebuah flotila menuju Gaza yang membawa bantuan kemanusiaan bersama aktivis pro-Palestin, termasuk aktivis alam sekitar terkenal Greta Thunberg, berlepas semula dari pelabuhan Barcelona semalam selepas cuaca buruk memaksa mereka berpatah balik beberapa jam sebelum itu.

Menurut wartawan AFP di lokasi, sekitar 20 buah kapal berangkat dari bandar Sepanyol itu pada Ahad dengan misi untuk membuka koridor kemanusiaan dan menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di tengah-tengah perang Israel-Hamas, menurut kumpulan penganjur Global Sumud Flotilla.

Bagaimanapun, flotila itu terpaksa kembali ke pelabuhan ekoran amaran ribut dan angin kencang melebihi 55 kilometer sejam yang menjejaskan keselamatan pelayaran, terutamanya kapal kecil.

“Keputusan ini diambil demi mengutamakan keselamatan semua peserta dan memastikan misi kami tidak gagal,” kata penganjur dalam kenyataan, sambil menambah pelayaran hanya disambung semula selepas keadaan cuaca kembali stabil.

Agensi meteorologi Sepanyol, AEMET, sebelum itu mengeluarkan amaran ribut dan hujan lebat di wilayah Catalonia, termasuk Barcelona.

Flotila berkenaan turut disertai aktivis dan tokoh masyarakat dari puluhan negara, antaranya pelakon Ireland, Liam Cunningham; pelakon Sepanyol, Eduard Fernandez; serta bekas Datuk Bandar Barcelona, Ada Colau.

Rombongan itu dijangka tiba di Gaza pertengahan September ini, selepas dua cubaan terdahulu membawa bantuan ke wilayah berkenaan pada Jun dan Julai lalu dihalang oleh Israel.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini mengisytiharkan krisis kebuluran di Gaza, dengan amaran lebih 500,000 penduduk kini berada dalam keadaan amat kritikal.

Perang tercetus pada 7 Oktober 2023 apabila serangan lintas sempadan oleh kumpulan pejuang Hamas mengorbankan 1,219 orang, kebanyakannya orang awam, manakala 251 individu dijadikan tebusan dan daripada jumlah itu, 47 masih ditahan termasuk 25 yang disahkan mati oleh tentera Israel.

Serangan balas Israel pula telah meragut sekurang-kurangnya 63,459 nyawa penduduk Palestin, kebanyakannya orang awam, menurut angka daripada Kementerian Kesihatan Gaza. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN