NEW YORK: Israel semakin terasing di pentas dunia apabila perang dan krisis kemanusiaan berterusan di Gaza, mencetuskan tindak balas global yang kini merebak ke dalam ekonomi, budaya serta sukan.
Kecaman antarabangsa melonjak sejak Israel mengumumkan operasi ketenteraan darat ke atas Gaza City dan melancarkan serangan luar biasa terhadap kepemimpinan Hamas di Qatar.
Kritikan meluas apabila inkuiri Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu, buat pertama kali memutuskan Israel melakukan jenayah pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
Bahkan, Kesatuan Eropah (EU), rakan dagangan terbesar Israel, minggu lalu turut mencadangkan sekatan yang akan menggantung sebahagian daripada perjanjian perdagangan bebas dengan rejim, jika diluluskan negara anggota.
Beberapa negara Barat juga melaksanakan sekatan bersasar terhadap individu tertentu di Israel, penempatan haram serta organisasi yang menyokong keganasan di Tebing Barat.
Kemarahan global turut memberi kesan kepada ekonomi Israel dalam pelbagai cara lain.
Ogos lalu, dana kekayaan negara Norway, yang terbesar di dunia, mengumumkan menarik balik sebahagian pelaburannya di Israel berikutan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.
Israel turut berdepan sekatan senjata separa atau sepenuhnya daripada Perancis, Itali, Belanda, Sepanyol, United Kingdom (UK) dan beberapa negara lain berhubung kekejamannya itu.
Tindak balas antarabangsa semakin ketara sehingga Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sendiri mengakui negara haram itu sedang berdepan ‘sejenis pengasingan’ yang mungkin berlarutan selama bertahun-tahun.
Seiring dengan peningkatan perang, industri hiburan, budaya dan sukan Israel turut menerima tempias.
Sejumlah festival muzik, pameran seni dan acara kebudayaan di Eropah serta Amerika Syarikat (AS) membatalkan penyertaan artis atau konduktor Israel, dengan alasan sensitiviti terhadap perang di Gaza dan tekanan daripada masyarakat sivil.
Daripada kejohanan berbasikal sehingga pertandingan catur, penyertaan atlet Israel sama ada diganggu atau dibatalkan atas faktor politik dan solidariti dengan rakyat Palestin.










