JAKARTA: Badan Eksekutif Mahasiswa Seluruh Indonesia (BEM SI) memutuskan untuk tidak mengadakan sebarang demonstrasi di ibu kota Jakarta pada Isnin, susulan keadaan semasa yang dianggap tidak kondusif.
Koordinator Pusat BEM SI Kerakyatan, Muhammad Ikram, berkata keputusan tersebut dibuat selepas mempertimbangkan pelbagai faktor keselamatan dan situasi semasa.
“Melihat kepada keadaan yang sangat tidak baik di Jakarta, kami mengambil keputusan untuk tidak turun ke jalan hari ini,” katanya seperti dilaporkan oleh portal Kompas.
Bagaimanapun, Ikram menjelaskan bahawa BEM SI masih mempertimbangkan kemungkinan untuk mengadakan aksi susulan bergantung kepada perkembangan situasi dalam tempoh seminggu akan datang.
“Kami terus memantau keadaan agar tuntutan serta aspirasi mahasiswa dapat disampaikan dengan cara yang lebih efektif,” tambahnya lagi.
Dalam kenyataan berasingan, penyelaras BEM SI, Muzammil Ihsan, mengesahkan bahawa demonstrasi akan tetap diteruskan pada Selasa, 2 September.
Aksi itu merupakan lanjutan daripada siri demonstrasi bertajuk “Indonesia (C)emas Jilid II 2025” yang bermula sejak Julai lalu.
Pada 28 Julai, demonstrasi bertajuk “Indonesia (C)emas 2025” telah diadakan dan berlangsung sehingga malam, dengan kehadiran Wakil Menteri Sekretariat Negara, Juri Ardiantoro, sebagai wakil Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto, dan Menteri Sekretariat Negara, Prasetyo.
Juri dalam ucapannya menegaskan bahawa pihak Istana tidak mengabaikan suara mahasiswa.
“Presiden tidak menutup mata terhadap aspirasi mahasiswa. Semua tuntutan akan dikaji, dan tindakan akan diambil jika ia selaras dengan kepentingan bersama,” katanya kepada para peserta.
Sebagai tanda komitmen, Juri turut menandatangani dokumen tuntutan yang diserahkan oleh mahasiswa secara terbuka di hadapan para peserta demonstrasi.









