BAITULMUQADDIS: Israel pertimbang meluaskan pelaksanaan undang-undangnya terhadap penempatan Yahudi di Tebing Barat dan bercadang mengenakan sekatan terhadap pemimpin-pemimpin Pihak Berkuasa Palestin (PA), termasuk mengehadkan kebebasan pergerakan serta barangan yang boleh mereka peroleh dari luar negara.
Tindakan itu dibuat sebagai respons terhadap gelombang pengiktirafan negara Palestin oleh beberapa negara Barat.
Menteri Luar Israel, Gideon Sa’ar, dalam wawancara bersama akhbar Corriere Della Sera Itali mendakwa pihaknya tidak bercadang untuk membincangkan rampasan wilayah Palestin namun mempertimbangkan pelaksanaan undang-undang Israel ke atas komuniti Yahudi yang tidak tertakluk kepada PA.
Perbincangan berhubung langkah tersebut dijangka dibuat selepas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu pulang dari Washington minggu depan.
Sekat kebebasan pemimpin PA
Mengikut Perjanjian Oslo 1990-an, sebahagian Tebing Barat berada di bawah kawalan PA, sebahagian lagi di bawah kawalan Israel tanpa kedaulatan rasmi, manakala ada kawasan ditadbir PA tetapi dikawal keselamatan Israel.
Menurut laporan Army Radio, pegawai kanan keselamatan Israel mencadangkan agar kerajaan mengenakan sekatan terhadap pemimpin PA sebagai tindak balas kepada pengiktirafan negara Palestin dan antara tokoh yang disebut ialah Presiden PA, Mahmoud Abbas serta timbalannya, Hussein al-Sheikh.
Sekatan yang dicadangkan termasuk menyekat kebebasan bergerak kedua-dua pemimpin itu di Tebing Barat, serta sekatan ekonomi termasuk mengehadkan barangan import yang diterima keluarga mereka dari luar negara.
Diplomat Arab memberitahu The Times of Israel, wujud kebimbangan rejim itu mungkin menghalang Mahmoud daripada keluar atau kembali ke Tebing Barat dalam perjalanan rasmi akan datang.
Katanya, Israel juga sejak kebelakangan ini dilihat sengaja melengah-lengahkan kelulusan perjalanan Mahmoud hingga ke saat akhir, berbeza dengan kebiasaan memberikannya beberapa hari lebih awal.
“Langkah sebegini hanya akan menambah pengasingan Israel,” kata diplomat itu, sambil memberi amaran negara jiran Arab akan memberi reaksi tegas sekiranya ia berlarutan.
Isnin lalu, Mahmoud yang hanya diberi peluang berucap secara maya dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mengenai penyelesaian dua negara, memuji gelombang pengiktirafan kenegaraan Palestin.
Isu pin kunci
Beliau turut menyeru penamatan perang di Gaza, pembebasan tebusan Hamas, perlucutan senjata kumpulan itu, serta menggesa PA diberikan kuasa mentadbir Gaza sebagai sebahagian daripada sebuah negara Palestin.
Namun, Kementerian Luar Israel pada Rabu menuduh Mahmoud cuba menghapuskan Israel selepas beliau kelihatan memakai pin berbentuk kunci ketika berucap.
Simbol kunci itu sering digunakan rakyat Palestin sebagai simbol kerinduan mereka untuk kembali ke tanah asal yang terpaksa ditinggalkan ketika peperangan Nakba pada 1948.
Dalam kenyataan di platform X, kementerian itu menyifatkan pin tersebut sebagai simbol jelas niat Mahmoud untuk menenggelamkan Israel dengan membawa pulang berjuta-juta pelarian Palestin dan keturunan mereka.
Israel mendakwa hak kembali pelarian Palestin akan mengancam identiti rejim itu untuk membentuk ‘negara demokratik Yahudi’, sambil mendesak agar negara-negara Arab memberi kewarganegaraan kepada keturunan pelarian yang keluar pada 1948.
Gambar terdahulu menunjukkan Mahmoud memakai pin berbentuk kunci itu dalam hampir setiap penampilan awam sejak Mei 2023, bertepatan dengan ulang tahun ke-75 Nakba, istilah Palestin bagi merujuk kepada penubuhan Israel dan kehilangan tanah air mereka.
Janji Trump di Tebing Barat
Sementara tu, Presiden Donald Trump menegaskan beliau tidak akan membenarkan Israel merampas Tebing Barat yang diduduki, sekali gus menolak desakan beberapa ahli politik sayap kanan Israel yang mahu meluaskan kedaulatan ke wilayah itu.
“Saya tidak akan benarkan Israel merampas Tebing Barat. Tidak, saya tidak akan benarkan. Ia tidak akan berlaku.
“Saya tidak akan membenarkan Israel mengilhak Tebing Barat. Cukuplah. Sekarang masanya untuk berhenti,” kata Trump kepada wartawan di Pejabat Oval.
Penempatan haram Israel dilaporkan semakin meluas sejak rejim itu menawan Tebing Barat pada 1967 dan kini merentasi jauh ke kawasan Palestin dengan sistem jalan raya dan infrastruktur lain, sekali gus memecah-belahkan kawasan tersebut.
Satu projek penempatan Israel dikenali sebagai E1 yang menerima kecaman antarabangsa, mendapat kelulusan akhir pada Ogos lalu.










