ISLAMABAD: Lebih empat juta orang terjejas akibat banjir besar yang melanda Pakistan, sementara ribuan petani di India turut mengalami kerugian besar apabila hujan monsun lebat, diperburuk oleh pemanasan global, menenggelamkan kawasan pertanian utama di kedua-dua negara jiran itu.
Sepanjang minggu lalu, hujan berterusan telah menyebabkan tiga sungai utama di wilayah Punjab, kawasan paling padat penduduk di Pakistan, melimpah dan membawa kemusnahan besar di jantung sektor pertanian negara tersebut.
Menurut laporan Al Jazeera dari Multan pada Ahad, beberapa pekan ditenggelami air manakala ribuan ladang rosak, dengan hasil tanaman bernilai tinggi musnah sama sekali. Kerajaan kini sedang menggerakkan usaha bantuan kepada mangsa terjejas.
Jurucakap Pakistan Markazi Muslim League, Mohammed Ajmal menyifatkan kerosakan akibat banjir sebagai tidak dapat dibayangkan.
Katanya, bencana kali ini terlalu besar untuk ditangani kerajaan semata-mata, dan pihaknya bekerja tanpa henti membantu mangsa di seluruh negara.
“Dalam banjir ini, kami kehilangan segalanya, rumah, tanaman, segala usaha kami hilang sekelip mata. Bantuan amat terhad, sedangkan terlalu ramai memerlukan.
“Anak-anak kami terpaksa duduk di bawah langit terbuka, panas dan hujan. Kami sangat memerlukan khemah untuk melindungi mereka,” kongsi seorang mangsa, Sobia Bibi.
Dalam operasi menyelamat di timur Pakistan, sebuah bot karam pada Sabtu setelah melanggar objek di bawah air. Seorang wanita berusia 70 tahun dan empat kanak-kanak maut, manakala 10 lagi berjaya diselamatkan, menurut Pengarah Besar Agensi Pengurusan Bencana Wilayah, Irfan Ali Kathia.
Pesuruhjaya Bantuan Punjab, Nabil Javed mengesahkan bahawa banjir di Sungai Ravi, Sutlej dan Chenab telah memaksa lebih dua juta orang meninggalkan kediaman mereka.
Sebagai langkah kecemasan, pihak berkuasa Pakistan telah menubuhkan ratusan pusat bantuan, kemudahan perubatan dan pos veterinar bagi membantu mangsa serta haiwan ternakan. -AGENSI










