AS perhebat operasi ketenteraan di Caribbean menentang kartel dadah - Utusan Malaysia

AS perhebat operasi ketenteraan di Caribbean menentang kartel dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN JUAN: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Tentera Udara Dan Caine, tiba di Puerto Rico pada Isnin, ketika Washington meningkatkan operasi ketenteraannya menentang kartel dadah di rantau Caribbean.

Kehadiran mereka ke wilayah AS itu berlaku lebih seminggu selepas kapal-kapal yang membawa ratusan marin AS dikerahkan ke Puerto Rico untuk satu latihan ketenteraan, langkah yang mendapat kritikan daripada sesetengah pihak di pulau berkenaan.

Gabenor Puerto Rico, Jenniffer González berkata, lawatan Hegseth dan Caine mewakili pentadbiran Presiden Donald Trump bagi menyatakan sokongan terhadap anggota tentera yang terlibat dalam latihan tersebut.

“Kami berterima kasih kepada Trump dan pentadbirannya kerana mengiktiraf kepentingan strategik Puerto Rico terhadap keselamatan AS serta usaha mereka dalam memerangi kartel dadah dan diktator narkotik Nicolás Maduro,” kata González.

Hegseth dan Caine turut bertemu dengan pegawai di Pangkalan Pengawal Udara Kebangsaan 156th Wing Muñiz di Carolina, sebuah bandar di timur ibu kota San Juan.

Lawatan ini dibuat ketika AS merancang untuk menghantar 10 jet pejuang F-35 ke Puerto Rico dalam misi yang menyasarkan aktiviti kartel dadah, menurut sumber yang enggan dikenali pada Sabtu.

Pada 2 September lalu, Trump mengumumkan AS telah melancarkan serangan di selatan Caribbean terhadap sebuah kapal yang dipercayai membawa dadah dari Venezuela.

Serangan itu mengorbankan 11 orang dalam operasi ketenteraan AS yang jarang dilakukan di rantau tersebut. Menurut Trump, kapal itu dikendalikan oleh kumpulan geng Venezuela, Tren de Aragua.

Perdana Menteri Trinidad dan Tobago memuji tindakan tersebut dan menyatakan AS sepatutnya membunuh semua pengedar dadah dengan kekerasan. Namun, pemimpin Caribbean lain mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Sementara itu, kerajaan Venezuela pada Isnin menafikan tuduhan AS mereka memainkan peranan utama dalam perdagangan dadah global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN