Argentina ubah suai genetik kuda untuk sukan polo

Argentina ubah suai genetik kuda untuk sukan polo

Dengan pengubahsuaian tersebut, anak kuda berkenaan dijangka membesar dengan otot lebih besar, kekuatan lebih tinggi dan kelajuan lebih pantas memberi kelebihan besar kepada penunggang dalam perlawanan polo. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUENOS AIRES: Kumpulan saintis Argentina memperkenalkan dua ekor anak kuda berusia 10 bulan yang diubah genetik menggunakan teknologi CRISPR-Cas9, sekali gus menjadi yang pertama di dunia.

Teknologi kontroversi itu membolehkan penghapusan, penambahan atau pengubahsuaian bahagian tertentu dalam DNA.

Dengan pengubahsuaian tersebut, anak kuda berkenaan dijangka membesar dengan otot lebih besar, kekuatan lebih tinggi dan kelajuan lebih pantas memberi kelebihan besar kepada penunggang dalam perlawanan polo.

Sukan polo yang diperkenalkan ke Argentina oleh pendatang Britain, sebelum ini sudah pun membenarkan penggunaan kuda klon.

Namun, langkah menggunakan teknik pengubahsuaian genetik nyata lebih kontroversi dalam kalangan penternak kuda di negara yang terkenal sebagai kuasa besar sukan polo dunia.

Marcos Heguy, penternak serta bekas pemain polo profesional Argentina, menentang keras kaedah itu.

“Ini merosakkan industri penternakan. Ia seperti melukis dengan kecerdasan buatan, artis sudah tidak diperlukan lagi,” katanya.

Syarikat bioteknologi Buenos Aires, Kheiron Biotech, merupakan pihak yang bertanggungjawab menghasilkan kuda tersebut. Mereka menggunakan klon daripada seekor kuda betina pemenang anugerah bernama Polo Pureza (Polo Purity), sebelum DNA klon tersebut diubah dengan CRISPR-Cas9.

Melalui teknologi itu, saintis membuat pengubahsuaian terhadap gen myostatin iaitu gen yang mengehadkan pertumbuhan otot untuk meningkatkan jumlah serat otot yang memberi kuasa dan pergerakan lebih bertenaga.

Namun, Persatuan Polo Argentina bertindak melarang penggunaan kuda yang diubahsuai genetik dalam kejohanan rasmi. Presidennya, Benjamin Araya, menyifatkan teknik itu menghilangkan keunikan dan ‘magis’ daripada seni pembiakan kuda.

“Saya lebih suka memilih induk betina, memilih jantan, mengawinkan mereka dan berharap hasilnya luar biasa,” katanya.

Bagaimanapun, timbul persoalan mengenai cara penguatkuasaan larangan tersebut kerana persatuan itu tidak mempunyai sistem khusus untuk membezakan antara kuda klon, kuda kejuruteraan genetik dan kuda yang dibiak cara tradisional. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×