HANOI: Taufan Bualoi menerbangkan bumbung bangunan dan mencabut tiang elektrik di sepanjang pantai Vietnam, mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang, menurut pegawai tempatan dan nasional pada Isnin.
Ribut yang ke-10 melanda Vietnam tahun ini membadai daratan lewat Ahad dengan membawa angin berkelajuan 130 kilometer sejam.
Menurut pihak berkuasa di tiga wilayah, ribuan rumah dan premis perniagaan rosak atau musnah dengan imej menunjukkan bumbung zink tercabut, manakala runtuhan rumah berselerakan di jalan-jalan yang dibanjiri hujan di wilayah pesisir Nghe An.
“Angin menerbangkan bumbung rumah saya ke udara sebelum jatuh dan memusnahkan semuanya. Saya terpaksa menutup kepala dan berlari ke rumah jiran untuk menyelamatkan diri,” kata seorang penduduk, Trinh Thi Le, 71, dari wilayah tengah Quang Tri, dipetik akhbar milik kerajaan, Tuoi Tre.
Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh apabila pusaran angin melanda wilayah utara Ninh Binh awal Isnin.
Menurut pihak berkuasa bencana tempatan dan nasional, seorang maut di wilayah Hue dan seorang lagi di Thanh Hoa, manakala sekitar 20 orang lagi dilaporkan hilang.
Antara yang hilang ialah sembilan nelayan selepas bot mereka hanyut di laut pada malam Ahad akibat angin kencang dan arus deras, kata polis.
Lebih 53,000 orang dipindahkan ke sekolah dan pusat perubatan yang dijadikan tempat perlindungan sementara sebelum Bualoi melanda Vietnam.
Empat lapangan terbang domestik serta sebahagian lebuh raya nasional ditutup dengan lebih 180 penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan.
Sebahagian wilayah Nghe An dan Ha Tinh yang terkenal dengan industri keluli mengalami gangguan bekalan elektrik, manakala sekolah ditutup di kawasan terjejas.
Sejak membadai Vietnam, Bualoi mula melemah ketika bergerak ke arah negara jiran, Laos.
Minggu lalu, taufan itu melanda pulau-pulau kecil di tengah Filipina, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 orang dan memaksa 400,000 penduduk dipindahkan.-AFP










