BANGKOK: Polis Thailand melepaskan gas pemedih mata dan peluru getah ke arah kumpulan penduduk Kemboja di kawasan sempadan yang dipertikaikan, dalam insiden terburuk sejak kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata Julai lalu.
Menurut pihak berkuasa Kemboja, sekurang-kurangnya 23 penduduk mereka cedera dalam kejadian itu, manakala tentera Thailand memaklumkan beberapa pegawainya turut mengalami kecederaan.
Pertempuran tercetus di sebuah penempatan yang menjadi pertikaian, dengan Thailand mendakwa ia sebahagian daripada Kampung Ban Nong Ya Kaew di wilayah Sa Kaeo, sementara Kemboja menegaskan kawasan itu termasuk dalam Kampung Prey Chan di wilayah Bantheay Meanchey.
Ketegangan meningkat sejak bulan lalu apabila pihak berkuasa Thailand memasang pagar kawat berduri di kawasan terbabit, sekali gus mencetuskan bantahan berterusan daripada penduduk di kedua-dua belah sempadan.
Selama lebih satu abad, kedua-dua negara tersebut berselisih mengenai kedaulatan di sepanjang 817 kilometer sempadan darat yang pertama kali dipetakan Perancis pada 1907, ketika Kemboja masih di bawah penjajahan kolonial.
Julai lalu, pertikaian sempadan itu mengakibatkan pertempuran paling sengit dalam beberapa dekad sehingga meragut sekurang-kurangnya 48 nyawa dan memaksa ratusan ribu penduduk berpindah.
Perang singkat itu hanya berakhir selepas Malaysia menjadi orang tengah dalam rundingan gencatan senjata pada 28 Julai.
Namun, suasana kembali tegang semalam apabila Menteri Penerangan Kemboja, Neth Pheaktra menuduh pegawai Thailand menceroboh masuk ke wilayah mereka serta menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan bom bunyi terhadap orang awam Kemboja.
Sebaliknya, tentera Thailand mendakwa tindakan itu dilakukan selepas kira-kira 200 penunjuk perasaan Kemboja bertindak mencetuskan provokasi dengan melempar kayu, batu serta melancarkan serangan menggunakan lastik sehingga mencederakan pegawai mereka.










