GAZA: Hampir sembilan daripada 10 penyiasatan tentera Israel terhadap jenayah perang atau penderaan oleh anggotanya sejak permulaan perang di Gaza, ditutup tanpa tindakan lanjut atau dibiarkan tergantung.
Menurut Action on Armed Violence (AOAV), siasatan yang belum diselesaikan termasuk insiden pembunuhan sekurang-kurangnya 112 rakyat Palestin yang beratur untuk mendapatkan tepung di Bandar Gaza pada Februari 2024.
Pemantau konflik itu berkata, ia turut melibatkan serangan udara yang membunuh 45 orang dalam kebakaran besar di khemah perlindungan di Rafah pada Mei 2024 dan pembunuhan 31 rakyat Palestin dalam perjalanan mengambil makanan di satu pusah agihan di bandar sama pada 1 Jun.
Saksi memberitahu, mereka dibunuh selepas tentera Israel melepaskan tembakan.
Tidak lama kemudian, Pasukan Pertahan Israel (IDF) menafikan laporan itu sebagai palsu, namun memberitahu The Guardian insiden tersebut ‘masih dalam semakan’.
SIASATAN TIDAK TELUS
Penyelidik AOAV, Iain Overton dan Lucas Tsantzouris berkata, statistik tersebut menunjukkan Israel berusaha mewujudkan ‘corak impuniti’ dengan gagal menyelesaikan atau menolak kebanyakan kes yang melibatkan dakwaan salah laku paling berat atau mendapat perhatian umum.
IDF dalam kenyataan balas mendakwa, pihaknya menjalankan proses semakan serta siasatan terhadap insiden luar biasa semasa operasi, sekiranya terdapat kemungkinan pelanggaran undang-undang, selaras kewajiban di bawah undang-undang Israel dan antarabangsa.
Selain itu, IDF mempunyai mekanisme dalaman untuk menangani dakwaan berkaitan jenayah perang, termasuk penyiasatan dikendalikan jabatan polis serta penilaian fakta (FFA) yang dijalankan oleh pasukan berasingan dalam kakitangan am.
Walaupun tempoh masa sejak bermula perang masih dianggap singkat dari sudut siasatan dan proses undang-undang, beberapa kes yang belum diselesaikan berkemungkinan besar akan membawa kepada pendakwaan pada masa akan datang.
Namun, menurut dua penyelidik AOAV, siasatan IDF semakin tidak telus dan bergerak perlahan, seiring dengan peningkatan jumlah kematian orang awam di Gaza.
Dalam tempoh antara Oktober 2023 hingga akhir Jun lalu, AOAV merekodkan 52 kes yang dilaporkan dalam media antarabangsa, di mana tentera Israel telah atau akan menjalankan siasatan selepas dakwaan kematian atau kecederaan terhadap orang awam.
Kes itu membabitkan kematian 1,303 rakyat Palestin dan kecederaan terhadap 1,880 lagi.
Bagaimanapun, hanya satu kes berakhir dengan sabitan, melibatkan seorang tentera simpanan dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada Februari kerana mencederakan tahanan Palestin di penjara Sde Teiman.
Manakala, lima lagi kes berakhir dengan pelanggaran, termasuk insiden serangan udara pada April 2024 yang membunuh tujuh petugas bantuan World Central Kitchen.
Baki 46 kes lagi iaitu 88 peratus daripada keseluruhan, masih belum membawa sebarang tindakan tegas.
Tujuh daripadanya ditutup tanpa disabitkan kesalahan, manakala 39 lagi kekal dalam semakan atau tiada keputusan diumumkan, termasuk empat insiden maut bulan lalu melibatkan rakyat
Palestin ditembaik ketika berada berhampiran pusat agihan makanan di Gaza.
Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel turut mengulangi penafian Benjamin Netanyahu mengenai berlaku kebuluran di Gaza.
Netanyahu juga mendesak Palang Merah Antarabangsa menghantar bekalan ubatan dan makanan kepada semua tebusan yang ditahan Hamas selepas tular video memaparkan mereka dalam keadaan daif.










