ISTANBUL: Lebih 300 rumah di kawasan kejiranan Zeitoun, tengah Gaza, dilaporkan musnah dalam tempoh tiga hari akibat serangan tentera Israel, menurut laporan agensi berita Anadolu (AA).
Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Mahmoud Basal, pada Rabu menyatakan serangan itu dilancarkan secara sengaja terhadap kawasan kediaman awam, dengan tumpuan terhadap bangunan yang mempunyai lima tingkat atau lebih.
Menurut beliau, penggunaan bahan letupan yang besar turut memusnahkan struktur bersebelahan, dan dalam beberapa kes, rumah dihancurkan ketika masih didiami, mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Serangan ini dilakukan tanpa sebarang amaran awal,” katanya.
Kata beliau, pengeboman yang berterusan menyukarkan pasukan pertahanan awam untuk menyelamatkan mangsa yang cedera, kerana kawasan serangan masih tidak selamat untuk dimasuki.
Tindakan terbaru ini dilihat sebagai sebahagian daripada rancangan pendudukan berterusan Israel di Gaza, yang terus mencetuskan kebimbangan kemanusiaan global.










