Zionis lulus pelan rampas, kawal Gaza sepenuhnya

Zionis lulus pelan rampas, kawal Gaza sepenuhnya

PENUNJUK perasaan memegang poster Benjamin Netanyahu sebagai Hitler semasa demonstrasi membantah kekejaman Israel di Sydney, Australia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Kabinet keselamatan Israel meluluskan pelan yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bagi tentera mengambil alih kawalan terhadap Gaza.

Di bawah pelan untuk ‘mengalahkan’ Hamas di Semenanjung Gaza, tentera Israel akan bersedia mengambil alih Gaza City sambil mengagihkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk awam di luar zon pertempuran, menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat Perdana Menteri.

Hampir dua tahun selepas perang di Gaza bermula, Netanyahu berdepan tekanan semakin meningkat dari dalam dan luar negara untuk mencapai gencatan senjata bagi menghentikan krisis kebuluran dua juta penduduk di wilayah itu, selain menyelamatkan tebusan yang ditahan oleh militan Palestin.

Ketika mempengerusikan mesyuarat Kabinet keselamatannya pada hari Khamis, Netanyahu berkata, Israel merancang mengambil alih kawalan penuh terhadap Gaza tetapi tidak berniat untuk mentadbirnya.

Beliau berkata, Israel tidak mahu ‘menyimpan’ Semenanjung Gaza, yang pernah diduduki Israel pada tahun 1967 tetapi berundur dari kawasan itu pada 2005.

Netanyahu berkata, Israel mahukan ‘zon keselamatan’ dan mahu menyerahkan wilayah Palestin itu kepada kuasa Arab yang akan mentadbirnya dengan baik tanpa mengancam Israel, serta memberikan kehidupan yang baik kepada penduduk Gaza.

“Itu tidak mungkin berlaku dengan Hamas,” katanya.

Pejabatnya pada hari Jumaat menyatakan majoriti ahli Kabinet keselamatan menerima pakai lima prinsip untuk menamatkan perang iaitu dengan perlucutan senjata Hamas; pemulangan semua tebusan (yang hidup dan mati); penyahmiliteran Semenanjung Gaza; kawalan keselamatan Israel di Semenanjung Gaza; dan penubuhan pentadbiran awam alternatif yang bukan Hamas dan bukan Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Serangan Israel yang diperluas di Gaza mungkin bakal menyaksikan tentera darat Zionis beroperasi di kawasan padat penduduk yang dipercayai lokasi tebusan ditahan, menurut laporan media Israel.

Rancangan untuk menduduki Gaza sepenuhnya menimbulkan kebimbangan semakin meningkat di Israel mengenai nasib tebusan yang masih hidup.

Sementara itu di Gaza, kebimbangan semakin memuncak mengenai apa yang bakal berlaku jika operasi Israel diperluaskan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN