ANKARA: Negara-negara Muslim digesa bersama menggerakkan tentangan antarabangsa terhadap rancangan Israel untuk menguasai Bandar Gaza, kata Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, selepas perbincangan di Mesir pada Sabtu.
Kuasa serantau Mesir dan Turkiye kedua-duanya mengutuk rancangan tersebut Jumaat lalu.
Ankara menganggap ia sebagai fasa baru dalam dasar genosid dan ekspansionis Israel, serta menyeru tindakan global untuk menghentikan pelaksanaannya.
Israel menafikan dakwaan tersebut mengenai tindakannya di Gaza.
Dalam sidang media bersama dengan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty, di El Alamein, selepas bertemu Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi, Fidan mengumumkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) telah dipanggil untuk mesyuarat kecemasan.
Fidan menegaskan dasar Israel bertujuan mengusir rakyat Palestin melalui kelaparan dan rancangan itu adalah untuk menyerang Gaza secara kekal, serta tiada alasan yang boleh diterima untuk negara terus menyokong Israel.
Israel pula menafikan mempunyai dasar kelaparan dan menyalahkan kumpulan militan Palestin, Hamas, yang menyebabkan kematian 1,200 orang dalam serangan Oktober 2023, dan berkata perang boleh dihentikan jika Hamas menyerah.
Menteri Luar Mesir, Abdelatty, menyifatkan situasi kini sebagai perkembangan berbahaya bukan sahaja untuk Palestin dan negara jiran, malah untuk keamanan serantau. Beliau menggesa agar rancangan Israel dihentikan dan menyatakan koordinasi penuh antara Mesir dan Turkiye berhubung isu Gaza.
Komiti Menteri OIC pada Sabtu mengeluarkan kenyataan mengecam rancangan Israel, menganggapnya sebagai peningkatan ketegangan yang berbahaya dan pelanggaran jelas undang-undang antarabangsa, yang akan memusnahkan peluang damai.
Pasukan rundingan dari Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat telah berusaha selama beberapa bulan untuk mencapai gencatan senjata antara Israel dan Hamas.
OIC menggesa kuasa dunia dan Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan segera untuk menghentikan rancangan Israel di Gaza dan memastikan akauntabiliti ke atas pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.









