WASHINGTON: Kehadiran tentera Pengawal Kebangsaan di Washington ditingkatkan pada Rabu malam, ketika pengaruh Presiden Donald Trump terhadap penguatkuasaan undang-undang di bandar itu terus berkembang.
Menurut pegawai Rumah Putih, kehadiran Pengawal Kebangsaan yang ‘jauh lebih besar’ dijangka berada di lapangan dengan mereka mula kelihatan pada Selasa, bersama lima kenderaan perisai diletakkan berhampiran Monumen Washington.
Langkah itu menandakan hari ketiga pengaruh Trump terhadap pasukan penguatkuasaan undang-undang di Washington, sebagai sebahagian usaha presiden untuk membentuk bandar dan institusinya.
Isnin lalu, tentera dalam kenyataan berkata, Pengawal Kebangsaan akan memberikan sokongan pentadbiran dan logistik serta membantu pegawai penguatkuasaan lain yang bertugas di bandar, dengan penglibatan mereka boleh berubah mengikut arahan.
Pegawai Rumah Putih berkata, pasukan Pengawal Kebangsaan diarahkan untuk membantu penguatkuasa persekutuan dan tempatan, tetapi tidak membuat penahanan.
“Kehadiran mereka adalah untuk mewujudkan persekitaran selamat kepada pegawai lain,” katanya kepada CNN.
Sementara pegawai terus merangka misi khusus untuk anggota Pengawal Kebangsaan, orang ramai akan melihat kehadiran tentera itu di pelbagai lokasi di bandar tersebut, termasuk monumen negara, menurut jurucakap Pengawal Kebangsaan.
Jurucakap itu berkata, Pengawal Kebangsaan DC sedang berusaha menubuhkan pasukan petugas untuk menyelaras misi dan merasmikan rantaian arahan.
Walaupun tidak didedahkan bilangan anggota ditempatkan di Washington, DC, seorang pegawai Rumah Putih mendakwa, kehadiran Pengawal Kebangsaan akan berubah daripada tugasan malam kepada kehadiran 24 jam bermula malam Rabu.










