BANGKOK: Tiga askar Thailand cedera dalam letupan periuk api berhampiran sempadan negara itu dengan Kemboja pada Sabtu, dua hari selepas kedua-dua negara mengadakan rundingan di Kuala Lumpur yang digambarkan sebagai membina dan positif.
Menurut Pusat Operasi Tentera Wilayah Kedua Thailand, letupan itu menyebabkan seorang askar putus buku lali kiri, seorang lagi cedera di bahagian lengan dan belakang, manakala yang ketiga mengalami gegaran otak serta gegendang telinga pecah.
Ketiga-tiganya daripada Kompeni Infantri 111 menjalankan rondaan keselamatan bagi memasang kawat duri di kawasan sempadan Don Ao-Krissana, wilayah Si Sa Ket, apabila seorang daripada mereka memijak periuk api pukul 10 pagi.
Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai berkata, beliau sudah menerima laporan berhubung insiden itu.
Katanya, kejadian berlaku di kawasan yang dibersihkan untuk membuka laluan sebagai sebahagian langkah keselamatan menghalang penyeludupan dan kemasukan haram, lapor Bangkok Post.
Phumtham memaklumkan, butiran kejadian akan didokumenkan dan dihantar kepada Kementerian Luar Thailand untuk dibangkitkan di bawah Konvensyen Ottawa, perjanjian antarabangsa yang mengharamkan periuk api antipersonel.
“Isu pelupusan periuk api akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Serantau yang akan datang,” katanya.
Bagaimanapun, Pihak Berkuasa Tindakan Periuk Api dan Bantuan Mangsa Kemboja menafikan sebarang periuk api baharu dipasang.
Kementerian Pertahanan Kemboja pada Sabtu berkata mereka belum menerima pengesahan jelas daripada pasukan barisan hadapan Kemboja berhubung letupan itu sambil menegaskan tenteranya sentiasa mematuhi semangat gencatan senjata.










