GAZA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas pada Ahad menyatakan kesemua tebusan Israel tidak akan diberikan sebarang ‘keistimewaan khas’ dalam hal makanan berbanding penduduk Gaza yang lain.
“(Hamas) bukan sengaja membuat semua tawanan kebuluran, tetapi mereka juga makan makanan yang sama seperti para pejuang kami dan rakyat biasa.
“Mereka tidak akan menerima sebarang keistimewaan khas ketika jenayah kebuluran dan pengepungan ini masih berterusan,” kata sayap ketenteraan Hamas, Briged Al-Qassam, dalam satu kenyataan.
Hamas memberitahu mereka bersedia memberi respons terhadap sebarang permintaan daripada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) untuk menghantar makanan dan ubat-ubatan kepada tahanan yang masih ditahan di Gaza, menurut satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.
Kenyataan itu dikeluarkan hanya selepas Ketua Serantau ICRC, Julien Lerisson, memaklumkan kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bahawa ICRC terus berusaha mendapatkan akses kepada tahanan untuk membolehkan mereka menerima rawatan dan berhubung semula dengan keluarga masing-masing.
Netanyahu sebelum itu telah mendesak ICRC memberikan makanan dan rawatan perubatan segera kepada semua tahanan yang masih hidup di Gaza.
Tuntutan terhadap Hamas semakin meningkat selepas kumpulan itu dan Jihad Islam Palestin menyiarkan beberapa video pada hujung minggu, memperlihatkan dua tahanan Israel, Evyatar David dan Rom Braslavski dalam keadaan kurus dan lemah.
Dalam rakaman tersebut, kedua-dua mereka mengadu tidak mendapat makanan dan air yang mencukupi.
Kementerian Luar Israel pada Sabtu menyorot perbezaan ketara antara keadaan fizikal David dan pejuang Hamas yang muncul dalam video tersebut.
“Lihat lengan David, seorang tahanan Israel yang kebuluran sehingga hampir rebah. Kemudian lihat pula lengan pejuang Hamas, tegap dan cukup makan menghulurkan tin makanan untuk ditunjuk-tunjuk,” tulis kementerian itu di platform X.
Satu sumber diplomatik Israel turut memetik rakaman tersebut sebagai bukti kekejaman Hamas.
“Pada minit 02:31 dalam video propaganda menjijikkan itu, seorang pejuang Hamas memberi Evyatar satu tin makanan. Jelas kelihatan bahawa lengan pengganas itu lebih besar daripada kedua-dua belah kaki Evyatar. Satu-satunya pihak yang kebuluran di Gaza ialah para tahanan,” katanya kepada The Jerusalem Post. – AGENSI










