Taikun hartanah warga Malaysia mengaku bersalah kes subahat halang kehakiman Singapura - Utusan Malaysia

Taikun hartanah warga Malaysia mengaku bersalah kes subahat halang kehakiman Singapura

ONG BENG SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Usahawan hartanah terkenal Malaysia, Ong Beng Seng, pada Isnin mengaku bersalah bagi pertuduhan bersubahat menghalang proses keadilan dalam satu kes berprofil tinggi yang melibatkan bekas Menteri Pengangkutan Singapura, S. Iswaran, menurut laporan media tempatan termasuk The Straits Times.

Ong, yang dikenali kerana peranannya membawa perlumbaan Formula Satu (F1) ke Singapura, membuat pengakuan itu berkaitan lawatan ke Doha, Qatar pada Disember 2022. Dalam lawatan itu, Iswaran menaiki jet peribadi milik Ong dan menikmati penginapan serta penerbangan pulang kelas perniagaan yang dibiayai oleh Singapore GP Pte Ltd (SGP) atas arahan Ong, tanpa sebarang bayaran awal daripada Iswaran.

Pendakwaan menyatakan Iswaran kemudian membayar balik S$5,700 (RM18,764) kepada SGP, dipercayai bertujuan untuk menghalang siasatan lanjut. Ong pula, menurut pihak pendakwa, menyedari niat pembayaran itu mungkin untuk menutup kesalahan – sekaligus menjurus kepada pertuduhan bersubahat menghalang keadilan.

Satu lagi pertuduhan iaitu bersubahat dengan penjawat awam untuk menerima hadiah akan diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.

Pengakuan bersalah Ong dibuat selepas beberapa sesi praperbicaraan sejak beliau didakwa pertama kali pada 4 Oktober 2024.

Dalam kes berasingan pada Oktober tahun sama, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap Iswaran selepas beliau mengaku bersalah atas beberapa pertuduhan, termasuk menerima barangan berharga sebagai penjawat awam dan menghalang keadilan.

Tarikh hukuman terhadap Ong ditetapkan pada 15 Ogos ini. Mahkamah turut memutuskan jaminan beliau sebanyak S$800,000 (RM2.6 juta) dikekalkan.

Peguam Ong dalam rayuan meringankan hukuman memaklumkan bahawa anak guam mereka menghidap multiple myeloma iaitu sejenis kanser darah yang meningkatkan risiko kesihatan serius jika dipenjara.

Pendakwaan tidak membantah sekiranya mahkamah memilih untuk mengenakan denda maksimum sebagai ganti hukuman penjara, atas dasar kemanusiaan dan keadaan kesihatan Ong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN