Sudah tiada ruang, Zionis tetap paksa penduduk pindah ke selatan Gaza

Sudah tiada ruang, Zionis tetap paksa penduduk pindah ke selatan Gaza

Penduduk Palestin melarikan diri dari rumah mereka di kejiranan Saftawy, di Jabalia, utara Semenanjubg Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Tentera rejim Israel terus memaksa pemindahan besar-besaran penduduk Gaza ke kawasan selatan meskipun keadaan di sana dilaporkan sudah sesak dengan pelarian dan tidak lagi sesuai untuk didiami.

Namun, Israel tetap berkeras dan mendakwa lokasi tersebut masih mempunyai kawasan lapang untuk menampung orang ramai yang diarah berpindah dari utara dan Gaza City.

Pemerhati serantau memberi amaran langkah ini sebagai sebahagian daripada strategi tersusun untuk mengumpulkan penduduk di satu zon sempit sebelum melancarkan serangan baharu kononnya untuk memburu pejuang Hamas yang berpindah ke selatan.

Corak serangan ini sudah dapat dibaca dan penganalisis khuatir sejurus tentera rejim berjaya mengusir penduduk ke selatan, mereka akan melancarkan satu lagi operasi berskala besar dalam masa terdekat di kawasan berkenaan dan menjustifikasi serangan itu dengan alasan keselamatan.

Sejak tamat gencatan senjata Mac lalu, lebih 800,000 penduduk berpindah ke selatan, kebanyakannya ke Khan Younis dan Rafah, dengan infrastruktur asas sudah hampir musnah sepenuhnya ditambah keadaan kemanusiaan yang semakin meruncing.

Arahan pemindahan paksa

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu bersedia melaksanakan keputusan yang diluluskan Knesset awal bulan ini bagi menawan Gaza City sepenuhnya.

Pegawai-pegawai Israel juga terus menolak cadangan perjanjian pembebasan tebusan secara berperingkat, menegaskan Baitulmuqaddis hanya akan bersetuju jika mereka semua dibebaskan sekali gus dan Hamas melucutkan senjata.

Duta Israel ke Amerika Syarikat (AS), Yechiel Leiter, dalam wawancara televisyen pada Rabu mengulangi, pihaknya masih meneliti kemungkinan perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, namun tidak akan menamatkan perang di Gaza sehingga kumpulan pejuang itu menyerah kalah atau dimusnahkan.

Kenyataan itu dibuat selepas para pengantara daripada Qatar dan Mesir meluahkan kekecewaan kerana Israel masih enggan memberikan jawapan rasmi terhadap cadangan terbaharu pembebasan tebusan secara berfasa yang sudah diterima Hamas minggu lalu.

SEORANG penunjuk perasaan memegang plakad ketika perhimpunan memperingati wartawan yang terbunuh di Gaza di hadapan 10 Downing Street, London kelmarin. – AFP

Leiter turut menuduh Mesir dan Qatar gagal memberi tekanan secukupnya kepada Hamas serta mempersoalkan mengapa kepimpinan kumpulan pejuang itu masih beroperasi dari Istanbul dan Doha.

Jurucakap tentera Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Kolonel Avichay Adraee menolak keras dakwaan tiada ruang di selatan Gaza untuk menampung pelarian baharu.

Dalam mesej video di platform X, beliau berkata, tentera rejim sudah mengenal pasti kawasan lapang di selatan termasuk kem pelarian tengah dan Al-Mawasi yang ‘kosong’ dan sedia menerima penduduk yang baharu berpindah.

Adraee menegaskan pemindahan dari Gaza City tidak dapat dielakkan malah, berjanji bantuan kemanusiaan akan ditingkatkan untuk keluarga yang berpindah ke selatan, mendakwa persiapan sedang dijalankan termasuk pembinaan khemah, pusat agihan bantuan dan infrastruktur air.

IDF pada Rabu memaklumkan Israel akan menambah dua lagi pusat agihan bantuan di selatan Gaza untuk menerima gelombang pelarian baharu, menjadikan jumlah keseluruhan lima pusat bantuan.

Jurucakap Pertubuhan Bang­sa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric awal minggu ini berkata, sekitar 5,000 orang sudah dipindahkan dari utara Gaza ke Deir al-Balah di kawasan tengah dan ke Khan Younis di selatan sejak 20 Ogos dengan tambahan 8,000 lagi dipindahkan ke barat Gaza City.

Belum puas hancurkan Gaza

Menurut tentera Israel, pasukan daripada Divisyen ke-99 memusnahkan beberapa pos pemerhatian yang mengancam pasukan mereka dalam tempoh 48 jam lalu, sementara Divisyen ke-162 terus beroperasi di Jabalia dan pinggir Gaza City bagi menumpaskan Hamas dan meruntuhkan rangkaian mereka.

Penduduk melaporkan, kereta kebal Israel memasuki kejiranan Ebad-Alrahman di bahagian utara Gaza City pada malam Selasa, melepaskan tembakan rambang ke arah rumah-rumah yang mencederakan beberapa orang dan memaksa ramai lagi berpindah lebih jauh ke dalam bandar.

“Secara tiba-tiba, kami dengar kereta kebal mara ke Ebad-Alrahman, bunyi letupan semakin kuat, dan kami lihat orang ramai lari ke arah kawasan kami,” kata bekas pekerja binaan, Saad Abed, 60, kepada Reuters melalui aplikasi sembang dari rumahnya di Jalan Jala, kira-kira satu kilometer dari kawasan berkenaan.

Seorang lagi penduduk, Tala al-Khatib, 29, memberitahu AFP, serangan udara sangat dahsyat sepanjang malam kelmarin dan dia melihat sendiri beberapa rumah di Zeitoun diletupkan.

“Kami masih di rumah, sebahagian jiran sudah melarikan diri, sebahagian lagi kekal. Tetapi ke mana pun kami lari, maut tetap mengikuti,” katanya.

Di selatan Gaza, tentera rejim meneruskan operasi di Khan Younis dan turut mendakwa menyerang gudang senjata laut kumpulan pejuang serta pusat pembaikan peralatan maritim mereka termasuk membunuh Komander Aparat Keselamatan Am Hamas di barat Gaza, Mahmoud al-Asoud.

Pentadbiran Netanyahu terus merancang kemusnahan baharu tanpa mempedulikan kecaman hebat antarabangsa ekoran serangan awal minggu ini ke atas Hospital Nasser di Khan Younis yang membunuh sekurang-kurangnya 20 orang termasuk lima wartawan.

Menurut siasatan awal tentera Israel, serangan itu menyasarkan kamera pengawasan Hamas yang dipasang di kawasan hospital, dan mendakwa enam daripada yang terbunuh adalah pejuang bersenjata.

Tentera Israel mengulangi penyesalan terhadap korban awam dengan menegaskan mereka tidak menyasarkan wartawan.

Sebaliknya menuduh Hamas yang menyalahgunakan kemudahan perubatan untuk tujuan operasi mereka menentang tentera Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×