BAN FANG, Thailand: Sepasang suami isteri ditahan polis selepas disyaki membunuh bayi baru lahir mereka sebelum membakar mayat mangsa dalam sebuah tanur arang di daerah Ban Fang, Ahad lalu.
Menurut laporan media tempatan, Ketua Polis Ban Fang, Kolonel Koraphop Netthaisong memaklumkan identiti bayi sukar dikenal pasti kerana mayat hampir rentung sepenuhnya.
Siasatan di lokasi kejadian turut menemui kesan darah berhampiran tanur berkenaan.
Pasangan yang ditahan dikenal pasti sebagai Panadda, 34, dan suaminya, Phongsathorn, 30 tahun.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kedua-dua suspek menunggang motosikal ke lokasi pada malam kejadian, dengan Panadda dilihat membawa sebuah bakul plastik merah jambu yang dipercayai mengandungi bayi tersebut.
Dalam sesi soal siasat, Panadda mendakwa bayi itu meninggal dunia selepas dia pengsan dan terjatuh ke atas anaknya sejurus selepas bersalin.
Namun, hasil laporan forensik menafikan dakwaan itu.
Pakar perubatan mengesahkan bayi tersebut meninggal dunia akibat hentakan objek tumpul di kepala. Tali pusat yang masih melekat pada tubuh bayi menunjukkan mangsa dibakar tidak lama selepas dilahirkan.
Polis percaya kejadian itu sudah dirancang, memandangkan pasangan tersebut membawa mayat bayi pada waktu malam, membakarnya dalam tanur dan menunggu sehingga proses pembakaran selesai.
Kedua-dua suspek kini direman dan berdepan tuduhan membunuh dengan niat serta menyembunyikan mayat. Sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian turut dirampas kerana tidak berdaftar.
Kolonel Koraphop menyuarakan kebimbangan terhadap insiden tragis ini, yang berlaku dalam konteks krisis kadar kelahiran rendah di Thailand.










