SpaceX berjaya lancar roket Mega Starship selepas tiga siri kegagalan

SpaceX berjaya lancar roket Mega Starship selepas tiga siri kegagalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEXAS: Roket mega Starship milik SpaceX akhirnya berjaya dilancarkan dalam ujian kali ke-10, selepas beberapa percubaan sebelum ini berakhir dengan letupan yang menimbulkan keraguan terhadap kemampuan syarikat itu merealisasikan visi Elon Musk untuk menjajah planet Marikh.

Roket setinggi 123 meter itu merupakan kenderaan pelancar paling berkuasa pernah dibina berlepas dari tapak pelancaran syarikat berkenaan di Starbase, Texas selatan pada jam 6.30 petang (waktu tempatan).

Sorakan kuat kedengaran daripada pasukan jurutera, menurut siaran langsung pelancaran tersebut.

Starship merupakan tunjang utama cita-cita Musk untuk menjadikan manusia sebagai spesies multiplanet, manakala NASA pula menantikan versi khas roket ini sebagai pendarat dalam misi menghantar angkasawan kembali ke bulan.

Cubaan pelancaran sebelum ini berdepan halangan termasuk dibatalkan Ahad lalu akibat kebocoran bahan api di pelancar, manakala pada Isnin cuaca buruk memaksa penangguhannya.

Misi kali ini dianggap penting selepas tiga pelancaran terakhir berakhir dengan kegagalan apabila bahagian atas roket meletup, dua kali di ruang udara Caribbean dan sekali selepas mencapai orbit.

Malah pada Jun lalu, peringkat atas meletup ketika ujian darat.

“Kami telah melakukan banyak ujian tetapi ia masih belum membuktikan kebolehpercayaan sepenuhnya. Kegagalan setakat ini lebih banyak daripada kejayaan,” kata penganalisis angkasa di firma perunding Analysys Mason, Dallas Kasaboski.

Dalam misi ini, bahagian atas roket yang akhirnya dijangka membawa kru dan kargo dihantar separuh perjalanan merentasi bumi sebelum mendarat di laut berhampiran barat laut Australia.

Ia turut membawa satelit tiruan Starlink untuk diuji sambil menekankan kestabilan sirip kawalan di bahagian belakang dengan bahan pelindung haba prototaip. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN