Serangan udara Zionis ragut lima nyawa wartawan Al Jazeera di Gaza - Utusan Malaysia

Serangan udara Zionis ragut lima nyawa wartawan Al Jazeera di Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Wartawan Al Jazeera, Anas al-Sharif, terbunuh bersama empat rakan sekerja dalam satu serangan terancang oleh Israel terhadap sebuah khemah yang menempatkan petugas media di Bandar Gaza.

Serangan lewat malam Ahad itu menyasarkan khemah yang terletak di luar pintu utama Hospital al-Shifa, mengorbankan tujuh orang, termasuk wartawan Al Jazeera Mohammed Qreiqeh serta jurukamera Ibrahim Zaher, Mohammed Noufal, dan Moamen Aliwa.

Beberapa ketika sebelum terbunuh, Anas, wartawan berusia 28 tahun yang dikenali ramai dan telah membuat liputan secara meluas dari utara Gaza  menulis di platform X bahawa Israel melancarkan pengeboman intensif dan tertumpu, dikenali sebagai “tali api” di bahagian timur dan selatan Bandar Gaza.

Dalam video terakhirnya, bunyi dentuman kuat akibat peluru berpandu Israel dapat didengar dengan jelas, manakala langit malam disinari cahaya jingga yang terang.

Tentera Israel kemudiannya mengeluarkan kenyataan menuduh Anas sebagai ketua sel Hamas yang terlibat dalam melancarkan serangan roket ke arah orang awam dan tentera Israel.

Israel turut mendakwa memiliki dokumen yang kononnya menjadi “bukti kukuh” penglibatannya bersama kumpulan Palestin itu.

Namun begitu, Muhammed Shehada, penganalisis dari Euro-Med Human Rights Monitor, berkata tidak ada sebarang bukti bahawa Anas terlibat dalam aktiviti ketenteraan.

“Rutin hariannya hanyalah berdiri di hadapan kamera dari pagi hingga malam,” katanya kepada Al Jazeera.

Rangkaian Media Al Jazeera sebelum ini telah mengecam tentera Israel kerana melancarkan apa yang disifatkan sebagai “kempen hasutan dan fitnah” terhadap wartawannya di Gaza, khususnya al-Sharif.

Pada Julai, jurucakap tentera Israel, Avichai Adraee, turut menyebarkan semula satu video di media sosial yang mendakwa Anas merupakan anggota sayap ketenteraan Hamas.

Bulan lalu, Committee to Protect Journalists (CPJ) menyatakan kebimbangan serius terhadap keselamatan Anas susulan dia menjadi sasaran kempen pembunuhan watak oleh tentera Israel.

Sejak perang ke atas Gaza dilancarkan pada Oktober 2023, Israel kerap menuduh wartawan Palestin sebagai ahli Hamas,  satu strategi yang menurut kumpulan hak asasi bertujuan menjejaskan kredibiliti laporan mereka mengenai penyalahgunaan kuasa dan jenayah perang Israel.

Tentera Israel telah membunuh lebih 200 wartawan dan petugas media sejak pengeboman bermula termasuk beberapa wartawan Al Jazeera dan ahli keluarga mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×