PORT-AU-PRINCE: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan bahawa kanak-kanak kini merangkumi kira-kira 50 peratus daripada anggota kumpulan pemberontak di Haiti, ketika negara Caribbean itu terus bergolak akibat krisis politik, ekonomi dan keganasan bersenjata.
Ketua Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF), Catherine Russell menyifatkan statistik itu sebagai amat membimbangkan dan menggesa bantuan segera diberikan.
“Kami menganggarkan kanak-kanak kini membentuk separuh daripada anggota kumpulan bersenjata yang aktif. Ada yang dipaksa menjadi pejuang, pengintip, pembawa senjata malah ada yang dieksploitasi sebagai buruh domestik,” katanya pada Khamis.
Menurut UNICEF, perekrutan kanak-kanak melonjak 700 peratus dalam tiga bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama 2024, selari dengan peningkatan pelanggaran hak asasi terhadap golongan bawah umur.
Sepanjang 2024 sahaja, PBB merekodkan lebih 2,000 pelanggaran serius terhadap kanak-kanak iaitu naik 500 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Keganasan semakin memuncak sejak pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada 2021, dengan kumpulan jenayah kini menguasai sehingga 90 peratus ibu kota Port-au-Prince, sekali gus memutuskan akses jalan, mengehadkan perkhidmatan awam dan melonjakkan harga makanan serta keperluan asas.
Krisis itu memaksa hampir 1.3 juta rakyat Haiti meninggalkan rumah, separuh daripadanya adalah golongan muda.
Geng Haiti telah lama menjadikan rasuah politik sebagai alasan untuk memperluaskan kuasa dan menguasai wilayah. Namun, pencabulan hak asasi manusia semakin meningkat dengan hampir 5,000 orang terbunuh akibat keganasan geng dari Oktober hingga Jun.
Baik kerajaan Haiti mahupun masyarakat antarabangsa masih bergelut menangani pertumpahan darah yang semakin berleluasa.
Pada Oktober 2023, Majlis Keselamatan PBB meluluskan misi diketuai Kenya bagi menyokong pasukan polis Haiti, tetapi usaha itu berdepan kesukaran dan terjejas akibat kekurangan dana serta sumber.
Pengkritik turut menyuarakan kebimbangan terhadap campur tangan asing, mengambil kira sejarah hitam Haiti dengan penjajahan dan pendudukan ketenteraan.










