SEOUL: Seorang lelaki warga emas yang dikehendaki kerana menipu lebih 1,300 mangsa dalam skim pelaburan mata wang kripto ditahan polis secara tidak sengaja selepas dia membuang puntung rokok berhampiran sebuah stesen kereta api di ibu negara Korea Selatan.
Menurut polis, mereka pada awalnya hanya berniat mengeluarkan saman kerana kesalahan membuang sampah.
Namun, keadaan mencurigakan apabila lelaki berusia 60-an itu merayu agar dilepaskan, enggan menunjukkan kad pengenalan, berpura-pura menerima panggilan telefon dan cuba menawarkan wang kepada anggota polis yang menahannya.
Hasil semakan lanjut mendapati lelaki tersebut mempunyai waran tangkap berhubung 10 pertuduhan berkaitan skim penipuan kripto yang mencecah 17.7 bilion won (RM74.9 juta), melibatkan lebih 1,300 mangsa.
Suspek kemudiannya diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya Daerah Selatan Seoul yang mengendalikan siasatan kes berkenaan.
Kes berprofil tinggi itu sekali lagi mencetuskan kebimbangan terhadap peningkatan jenayah berkaitan mata wang kripto di Korea Selatan.
Menurut firma analisis blockchain Chainalysis, platform kripto di seluruh dunia mengalami kerugian sebanyak AS$2.2 bilion (RM9.3 bilion) akibat kecurian sepanjang tahun 2024, manakala penjenayah dilaporkan menerima kripto bernilai AS$40.9 bilion (RM172.9 bilion) secara haram.
Tahun lalu, polis Korea Selatan turut menahan lebih 200 individu yang disyaki terbabit dalam skim pelaburan kripto terbesar di negara itu, membabitkan kerugian kira-kira AS$240 juta (RM1.1 bilion).










