MOSCOW: Russia pada Rabu memberi amaran sebarang usaha menyelesaikan isu keselamatan berkaitan Ukraine tanpa penglibatannya adalah satu jalan buntu sambil menegaskan kepentingan penyertaan Moscow dalam sebarang perbincangan berkaitan masa depan Kyiv.
Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov secara khusus mengkritik peranan pemimpin Eropah yang baru-baru ini bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy di Rumah Putih bagi membincangkan jaminan keselamatan kepada Ukraine sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan perang yang telah berlarutan lebih tiga tahun setengah.
Lavrov menyatakan Russia menyokong jaminan keselamatan yang boleh dipercayai sepenuhnya untuk Ukraine dan mencadangkan ia boleh diasaskan daripada draf perjanjian yang pernah dibincangkan di Istanbul pada 2022 antara kedua-dua pihak yang berperang pada peringkat awal konflik.
Namun, Kyiv ketika itu menolak cadangan tersebut kerana ia memberi kuasa veto kepada Moscow terhadap sebarang tindak balas ketenteraan bagi membantu Ukraine.
“Kami tidak boleh bersetuju dengan cadangan untuk menyelesaikan isu keselamatan, termasuk keselamatan kolektif tanpa penyertaan Russia. Ini tidak akan berhasil,” kata Lavrov dalam sidang media bersama selepas bertemu Menteri Luar Jordan.
“Saya yakin pihak Barat, terutamanya AS sedar bahawa membincangkan isu keselamatan secara serius tanpa Russia adalah satu angan-angan, ia satu jalan yang sia-sia,” katanya.
Kenyataan Lavrov itu menunjukkan bahawa Moscow menuntut negara-negara Barat berbincang secara langsung dengannya mengenai isu keselamatan Ukraine dan Eropah, yang menurutnya masih belum berlaku.
Dalam perkembangan berkaitan, Moscow minggu ini sekali lagi menegaskan penolakan mutlak terhadap sebarang senario yang melibatkan penempatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di Ukraine.-AGENSI










