LONDON: Angkasawan mungkin tidak perlu menjejakkan kaki ke Marikh untuk meneroka atau membina penempatan manusia di planet merah itu apabila robot-robot kawalan jauh mula diuji untuk melakukan perkara tersebut.
Menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA), eksperimen kawalan robot dari Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menunjukkan teknologi tersebut mampu melaksanakan tugasan rumit seperti meneroka permukaan planet asing, mengalihkan objek dan bahkan membina kemudahan infrastruktur seperti loji tenaga serta tempat tinggal.
Angkasawan NASA, Jonny Kim mengendalikan tiga robot, dua daripadanya berwajah anjing berkaki empat yang dinamakan Spot dan Bert, manakala satu lagi robot humanoid dikenali sebagai
Rollin Justin semasa sesi ujian di landskap simulasi Marikh di Jerman, 402 kilometer dari permukaan bumi.
“Musim panas ini, sekumpulan robot meneroka kawasan simulasi Marikh di Jerman yang dikawal sepenuhnya oleh angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa,” kata jurucakap ESA dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Ujian berkenaan merupakan sebahagian daripada eksperimen Surface Avatar, hasil kerjasama ESA dan Pusat Aeroangkasa Jerman (DLR) yang bertujuan membangunkan teknik kawalan robotik oleh angkasawan untuk tugas-tugas kompleks di Bulan dan Marikh.
“Spot mampu menavigasi kawasan berbatu secara autonomi, manakala Justin dikawal melalui gabungan arahan langsung dan perintah prasiap. Ini membolehkan Jonny menumpukan kepada keputusan tahap tinggi dan bukannya kawalan penuh sepanjang masa,” ujarnya.
Projek tersebut turut menggunakan antaramuka khas yang dibangunkan dengan kombinasi joystick dan alat maklum balas haptik, membolehkan angkasawan bertukar antara pandangan perspektif pertama dan peta pandangan atas untuk pengurusan misi yang lebih luas.
“Empat sesi ujian yang dilalui membantu memperhalusi pendekatan interaksi manusia-robot dengan ketara, di samping menambah baik keseimbangan antara kawalan langsung dan pengdelegasian tugas kepada sistem autonomi,” kata kenyataan itu.










