PARIS: Resort dan hotel yang melarang kehadiran kanak-kanak kini menjadi tumpuan perdebatan hangat di Perancis.
Seorang senator terkemuka menyifatkan amalan itu sebagai diskriminasi yang mengancam nilai kemanusiaan dan berisiko mewujudkan masyarakat tidak bertoleransi.
Laurence Rossignol, senator Parti Sosialis dan bekas Menteri Keluarg berkata, kanak-kanak bukan haiwan peliharaan yang perlu diasingkan.
Beliau turut menggesa kerajaan mengharamkan larangan terhadap kanak-kanak di tempat awam melalui perbahasan Parlimen.
Rossignol bimbang jika amalan ‘bebas kanak-kanak’ terus berkembang, ia akan menormalisasi sikap tidak suka kanak-kanak dan melanggari hak mereka untuk berada dalam ruang sosial.
Pesuruhjaya Tinggi Kerajaan Perancis bagi Hal Ehwal Kanak-kanak, Sarah El Haïry, melancarkan kempen ‘Family Choice’ untuk mempromosi lokasi mesra kanak-kanak dan menentang budaya ‘tiada kanak-kanak dibenarkan’.
Walaupun hotel dewasa popular di Mexico, Thailand, dan Sepanyol, Perancis yang terkenal dengan kadar kelahiran tinggi, mengekalkan daya tarikan destinasi percutian mesra keluarga.
Resort untuk golongan dewasa tanpa kanak-kanak di Perancis hanya sekitar tiga hingga lima peratus daripada pasaran pelancongan.
Kajian pakar keusahawanan, Vincent Lagarde mendapati majoriti pengunjung resort ini bukan benci kanak-kanak, tapi perlukan masa rehat dari tekanan kerja dan keluarga.
Ada juga yang memilihnya untuk percutian romantik atau masa berkualiti bersama rakan.
Menurut ahli antropologi Jean-Didier Urbain, percutian kini menjadi ruang penting untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab sosial dan mencari ketenangan dalam kehidupan yang semakin sibuk.









