TEL AVIV: Satu siasatan dalaman oleh tentera Israel mendapati bahawa majoriti kes bunuh diri melibatkan anggotanya pada tahun ini berpunca daripada trauma dan tekanan melampau akibat penglibatan langsung dalam perang di Gaza, lapor agensi Anadolu berdasarkan sumber penyiar awam Israel, KAN.
Menurut laporan tersebut, sejumlah 16 askar Israel telah membunuh diri sejak awal 2025, satu angka yang membimbangkan dan melebihi kadar biasa. Setiap kes disiasat secara terperinci termasuk analisis nota perpisahan serta temu bual dengan rakan-rakan dan ahli keluarga mangsa.
Hasil siasatan menunjukkan bahawa pendedahan berpanjangan kepada pertempuran, pengalaman ngeri di medan perang dan kesan psikologi akibat kehilangan rakan seperjuangan menjadi faktor utama yang mendorong tindakan tragis itu.
“Sebahagian besar kes bunuh diri ini berpunca daripada realiti kompleks yang dicipta oleh perang di Gaza. Perang membawa akibat,” kata seorang pegawai kanan tentera Israel kepada KAN.
Statistik turut menunjukkan bahawa 17 askar membunuh diri pada 2023 manakala 21 orang pada 2024, menunjukkan trend peningkatan yang konsisten sejak perang bermula.
Sejak konflik meletus pada 7 Oktober 2023, hampir 3,770 askar telah disahkan mengalami gangguan tekanan pascatrauma (PTSD) manakala kira-kira 10,000 daripada 19,000 askar yang cedera kini menerima rawatan psikologi di bawah unit pemulihan Kementerian Pertahanan Israel.
Walaupun menerima tekanan antarabangsa agar menghentikan serangan, tentera Israel meneruskan operasi ketenteraan besar-besaran ke atas Gaza yang telah meragut lebih 60,400 nyawa rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) susulan tindakannya di wilayah terkepung itu. -AGENSI








