YEREVAN, Armenia: Dua negara jiran yang lama bermusuhan, Armenia dan Azerbaijan akhirnya menandatangani satu perjanjian penting di Rumah Putih pada Jumaat lalu, disaksikan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Perjanjian ini, walaupun bukan perjanjian damai sepenuhnya, dianggap sebagai langkah besar ke arah menamatkan konflik puluhan tahun, terutamanya pertikaian berdarah mengenai wilayah Nagorno-Karabakh.
Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev dan Perdana Menteri Armenia Nikol Pashinyan berjabat tangan dalam satu momen simbolik yang turut menyaksikan Trump menggenggam tangan kedua-dua pemimpin, memperlihatkan peranan aktif AS dalam usaha mendamaikan rantau Kaukasus Selatan.
Antara isi penting perjanjian ini ialah penciptaan koridor transit baharu bernama “Laluan Trump untuk Keamanan dan Kemakmuran Antarabangsa”, yang dilihat sebagai satu langkah strategik dalam mengurangkan pengaruh Rusia di rantau itu, terutama selepas kemenangan ketenteraan Azerbaijan pada 2023 yang mengubah kedudukan di Nagorno-Karabakh.
Di Baku, suasana optimis menyelubungi penduduk.
Ramai melihat AS sebagai pihak yang berjaya melakukan apa yang Russia gagal capai iaitu menjadi penjamin keamanan.
“Kami sudah lama menunggu. Dengan AS sebagai penjamin, ini lebih boleh dipercayai,” kata seorang penduduk.
Namun di Yerevan, reaksi lebih bercampur. Ada yang melihat potensi ekonomi jika laluan perdagangan dibuka, namun ramai juga yang skeptikal dan menganggap syarat perjanjian memihak kepada Azerbaijan.
“Ia berat sebelah. Tiada apa yang menguntungkan Armenia,” kata seorang penduduk dengan nada kecewa.
Walaupun perjanjian ini menandakan kemajuan diplomatik, pelbagai halangan masih wujud. Armenia masih bergantung kepada Russia dari sudut ekonomi dan keselamatan, manakala berjuta warga Azerbaijan menetap di Russia sekali gus memberi Moscow ruang untuk terus mempengaruhi perkembangan.
Ahli politik pembangkang di kedua-dua negara melihat ini sebagai saat penting, tetapi menegaskan kestabilan jangka panjang hanya akan wujud jika pengaruh Rusaia terus melemah dan jika kedua-dua negara benar-benar komited kepada perdamaian.
Perjanjian ini membawa harapan baharu kepada rantau yang telah lama dihantui peperangan, namun jalan ke arah perdamaian sebenar masih panjang dan berliku.









