'Pelan Israel kerah 60,000 tentera simpanan mengarut' - Utusan Malaysia

‘Pelan Israel kerah 60,000 tentera simpanan mengarut’

PENUNJUK perasaan memegang kain rentang tanda solidariti kepada Palestin di luar ibu pejabat PBB sempena persidangan mengenai penyelesaian dua negara di New York City, kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Jerman mengecam keputusan Israel mengerahkan 60,000 anggota tentera simpanan untu bertempur dan menawan Gaza, selain menggesa supaya diadakan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan, lapor agensi Anadolu.

“Kami menolak peningkatan operasi ketenteraan ini. Kami menyeru semua pihak dan komuniti antarabangsa untuk segera menamatkan konflik ini melalui gencatan senjata serta-merta dan berkekalan.

“Pelan itu adalah mengarut,” kata jurucakap timbalan kerajaan, Steffen Meyer dalam satu sidang media di Berlin.

Beliau menegaskankerajaan Jerman terus memperjuangkan gencatan senjata tersebut dengan semua cara yang ada, sambil meningkatkan tekanan bagi pembebasan semua tebusan yang masih ditahan.

Kenyataan Meyer itu merujuk kepada rancangan Israel untuk memanggil 60,000 tentera simpanan bagi terlibat dalam operasi ketenteraan di Gaza di bawah pelan penjajahan, menurut laporan media tempatan pada Rabu.

Keputusan ketenteraan tersebut dibuat selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, meluluskan pelan untuk menawan Bandar Gaza, menurut penyiar awam Israel, KAN.

KAN turut melaporkan anggota tentera tetap yang kini beroperasi di Gaza juga akan dilanjutkan tempoh penugasan mereka.

Radio tentera Israel pula melaporkan jumlah keseluruhan tentera simpanan akan meningkat kepada 130,000 anggota, sebagai persediaan untuk operasi jangka panjang yang dijangka berterusan sehingga pertengahan 2026.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan Jerman sekali lagi menyuarakan penentangan tegas terhadap rancangan Israel untuk membina ribuan unit penempatan baharu, yang dijangka akan memecah Tebing Barat kepada dua bahagian tidak bersambung.

“Kami sangat menolak projek penempatan E1,” kata jurucakap timbalan Kementerian Luar Jerman, Josef Hinterseher, kepada wartawan di Berlin.

Menurut beliau, pihak berkuasa pembinaan Israel dilaporkan telah meluluskan permit projek itu pada hari sama.

“Pendapat kerajaan Jerman adalah jelas: Kami tegas menolak kelulusan ini. Pembinaan penempatan melanggar undang-undang antarabangsa dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB yang berkaitan,” tegasnya.

Beliau turut menyatakan tindakan itu akan menggagalkan penyelesaian dua negara secara rundingan serta menghalang penamatan penjajahan Israel di Tebing Barat, seperti yang dituntut oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN