Pekerja Microsoft protes hubungan syarikat dengan tentera Israel - Utusan Malaysia

Pekerja Microsoft protes hubungan syarikat dengan tentera Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REDMOND: Sekumpulan penunjuk perasaan yang terdiri daripada kakitangan semasa dan bekas pekerja Microsoft mengadakan demonstrasi di ibu pejabat syarikat gergasi teknologi itu di Redmond, Washington, Amerika Syarikat (AS), membantah kerjasama syarikat tersebut dengan tentera Israel susulan perang berterusan di Gaza.

Menurut laporan media antarabangsa, protes itu dianjurkan oleh kumpulan No Azure for Apartheid, merujuk kepada perkhidmatan pengkomputeran awan utama Microsoft, Azure.

Penunjuk perasaan berhimpun di pejabat Presiden Microsoft, Brad Smith, di Bangunan 34, sambil melaungkan slogan dan mengangkat sepanduk yang mendesak syarikat berkenaan memutuskan kerjasama dengan Israel.

Salah satu sepanduk menamakan semula bangunan itu sebagai “Bangunan Mai Ubeid” sebagai penghormatan kepada jurutera perisian Palestin dari Gaza yang terbunuh dalam serangan udara Israel pada 2023.

Bloomberg sebelum ini mendedahkan Microsoft berdepan penentangan kecil tetapi berterusan daripada pekerjanya sejak setahun lalu, yang menggesa syarikat itu menghentikan semua kerjasama dengan Israel.

Difahamkan, syarikat berkenaan turut mendapatkan bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memantau serta mengekang demonstrasi.

Protes terbaru ini tercetus selepas laporan mendakwa Unit 8200 Israel menggunakan Microsoft Azure untuk menyimpan rakaman panggilan telefon penduduk Palestin dan pada awal tahun ini, Associated Press mendedahkan kerjasama Microsoft dengan Kementerian Pertahanan Israel dalam pemprosesan risikan untuk pemilihan sasaran serangan.

Susulan laporan itu, Microsoft mengeluarkan kenyataan semakan dalaman tidak menemui bukti Azure atau teknologi kecerdasan buatannya digunakan untuk menyasarkan atau mencederakan penduduk Gaza.

Walaupun hasil semakan tidak diterbitkan, syarikat itu berjanji akan berkongsi dapatan fakta daripada semakan susulan yang sedang dijalankan.

Sejak Oktober 2023, serangan ketenteraan Israel di Gaza telah meragut hampir 63,000 nyawa rakyat Palestin, memusnahkan sebahagian besar wilayah berkenaan yang kini berdepan kebuluran dan dianggap tidak lagi sesuai didiami. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN