MOSCOW: Sebuah pangkalan kapal selam nuklear milik Russia di kawasan terpencil timur jauh negara itu mengalami kerosakan minggu lalu, susulan kejadian gempa bumi paling kuat pernah direkodkan di rantau berkenaan dalam tempoh beberapa dekad.
Menurut laporan The New York Times yang memetik imej satelit daripada syarikat pemantauan komersial, Planet Labs, kemusnahan dikesan berlaku di dermaga terapung di Pangkalan Kapal Selam Rybachiy, terletak di Semenanjung Kamchatka, lokasi strategik untuk armada kapal selam nuklear Russia di Lautan Pasifik.
Imej berkenaan menunjukkan satu bahagian dermaga telah terpisah daripada titik sauhnya, dipercayai akibat kesan gegaran gempa yang melanda pada hari Rabu lalu.
Bagaimanapun, tiada kerosakan besar lain dilaporkan dalam gambar satelit tersebut.
Kementerian Pertahanan Russia setakat ini masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung insiden itu.
Gempa bumi berkekuatan magnitud 8.8 yang berlaku di perairan timur Kamchatka itu turut mencetuskan amaran tsunami sehingga ke sejauh Polinesia Perancis dan Chile disusuli pula dengan letusan gunung berapi paling aktif di semenanjung tersebut.
Walaupun gempa itu merupakan antara yang paling kuat pernah direkodkan, kerosakan secara keseluruhan dilaporkan minima, hasil tindakan pantas agensi bencana antarabangsa yang berjaya mengelakkan kehilangan nyawa besar-besaran.
Pangkalan Rybachiy berfungsi sebagai pusat penyelenggaraan, penempatan dan operasi utama kapal selam berkuasa nuklear Russia di rantau Pasifik, dan merupakan antara aset ketenteraan strategik negara itu. -AGENSI









