OIC, GCC dan Liga Arab kecam rancangan Israel kuasai Gaza - Utusan Malaysia

OIC, GCC dan Liga Arab kecam rancangan Israel kuasai Gaza

KENDERAAN tempur infantri Israel digerakkan ke sempadan Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Jawatankuasa Menteri Liga Arab pada Sabtu mengeluarkan kecaman bersama terhadap rancangan Israel untuk mengambil alih sepenuhnya Semenanjung Gaza.

Dalam kenyataan bertulis, OIC, GCC dan Jawatankuasa Menteri Liga Arab menolak sekeras-kerasnya rancangan Israel bagi pendudukan ketenteraan penuh di Gaza, menyifatkannya sebagai bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, peningkatan konflik serius dan kesinambungan pendudukan haram.

Kenyataan itu menegaskan keputusan tersebut merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta cubaan untuk menghalalkan pendudukan yang tidak sah di samping bercanggah dengan resolusi-resolusi legitimasi antarabangsa yang berkaitan.

Menurut kenyataan itu, Israel terus melakukan pembunuhan beramai-ramai, kelaparan, pemindahan paksa, perampasan tanah dan keganasan peneroka di Gaza serta wilayah Palestin lain, memberi amaran bahawa pelanggaran-pelanggaran ini berpotensi menjadi jenayah terhadap kemanusiaan.

Kenyataan tersebut turut menegaskan dasar-dasar ini menghapuskan peluang untuk mencapai keamanan dan melemahkan usaha serantau serta antarabangsa.

Pihaknya menyeru agar serangan Israel ke atas Gaza serta pelanggaran serius di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur dihentikan segera di samping menuntut bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Gaza tanpa syarat dan dengan segera.

Kenyataan bersama itu juga menyokong inisiatif gencatan senjata dan pertukaran tahanan yang diterajui Mesir, Qatar dan Amerika Syarikat sambil menekankan bahawa langkah-langkah ini penting untuk meredakan krisis kemanusiaan.

Pelaksanaan segera kerjasama Arab-Islam untuk pembinaan semula Gaza dan penyertaan aktif dalam persidangan pembinaan semula yang akan diadakan di Kaherah turut ditekankan, di samping menolak sebarang pemindahan paksa rakyat Palestin.

Kenyataan itu menganggap Israel bertanggungjawab sepenuhnya terhadap jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukannya di Gaza, dan menggesa khususnya anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menunaikan tanggungjawab undang-undang serta kemanusiaan mereka dalam isu ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN