ISTANBUL: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar peringkat menteri luar pada Isnin ini bagi menyelaraskan tindak balas bersama terhadap rancangan Israel untuk menduduki semula sepenuhnya Semenanjung Gaza.
Menurut laporan agensi Anadolu (AA), OIC dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan persiapan dijalankan bagi sesi khas itu yang dijadual berlangsung di tengah-tengah kebimbangan terhadap tindakan agresif Israel di wilayah Gaza.
Mesyuarat berkenaan akan menumpukan kepada penyelarasan pendirian negara anggota OIC dalam menghadapi serangan berterusan Israel, serta usaha untuk “mengukuhkan pendudukan” secara paksa ke atas wilayah Palestin itu.
Selain itu, OIC menjelaskan isu-isu utama yang akan dibincangkan termasuk genosid, kebuluran, pemindahan paksa, pengepungan, dan malapetaka kemanusiaan luar biasa yang sedang berlaku di Gaza.
Pengumuman ini dibuat sehari selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak sebarang usaha pengantaraan gencatan senjata, dan sebaliknya mengarahkan tentera Israel mempercepat pelaksanaan rancangan menduduki Bandaraya Gaza sepenuhnya.
Rancangan tersebut yang diluluskan pada 8 Ogos lalu melibatkan pemindahan hampir sejuta penduduk Palestin ke selatan Gaza, pengepungan penuh ke atas bandar, serta pelancaran serangan darat ke kawasan kediaman.
Pada 11 Ogos, tentera Israel melancarkan serangan besar-besaran ke kawasan kejiranan Zeitoun di tenggara Gaza dengan menggunakan robot dipasang bahan letupan untuk merobohkan rumah-rumah, disertai bedilan artileri dan pemindahan paksa penduduk, menurut saksi.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel ke atas Gaza telah mengorbankan hampir 62,200 rakyat Palestin, memusnahkan sebahagian besar wilayah itu dan menyebabkan krisis kebuluran yang semakin memburuk.










