TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada Khamis mengumumkan negara haram itu akan segera menyambung rundingan bagi membebaskan semua tebusan di Gaza serta menamatkan perang.
Namun, kesemua itu boleh dilakukan berdasarkan syarat yang boleh diterima Israel.
Kenyataan itu merupakan reaksi pertama Netanyahu terhadap cadangan gencatan senjata sementara yang dikemukakan Mesir dan Qatar dan dipersetujui Hamas pada Isnin lalu.
Seorang pegawai Israel memaklumkan, perunding akan dihantar sebaik sahaja lokasi rundingan ditetapkan.
Bercakap kepada askar di sempadan Israel-Gaza, Netanyahu menegaskan beliau tetap berpegang pada rancangan untuk menewaskan Hamas dan menawan bandar Gaza, pusat berpenduduk padat yang menjadi nadi wilayah Palestin itu.
“Dalam masa yang sama, saya sudah mengarahkan supaya rundingan segera dimulakan bagi pembebasan semua tebusan kita serta menamatkan perang berdasarkan syarat yang boleh diterima oleh Israel. Kita kini berada di fasa membuat keputusan,” katanya.
Rancangan Israel untuk menawan bandar Gaza telah diluluskan kabinet keselamatan bulan ini yang dipengerusikan Netanyahu, meskipun ramai sekutu rapat Israel mendesak keputusan itu ditimbang semula.
Kenyataan terbaharu beliau menegaskan pendirian kerajaan Israel berhubung sebarang perjanjian mesti memastikan pembebasan semua 50 tebusan yang ditangkap di Israel pada Oktober 2023, dengan pihak berkuasa percaya kira-kira 20 daripadanya masih hidup.
Cadangan gencatan senjata di atas meja ketika ini merangkumi tempoh 60 hari, dengan Hamas akan membebaskan 10 tebusan hidup dan 18 mayat, manakala Israel pula melepaskan sekitar 200 tahanan Palestin yang telah lama dipenjara.
Selepas gencatan sementara bermula, Hamas dan Israel dijangka memulakan rundingan ke arah gencatan kekal yang turut melibatkan pembebasan baki tebusan.
Sementara itu, ratusan penduduk Palestin mengadakan protes di Gaza pada Khamis sebagai tanda putus asa terhadap keadaan yang semakin meruncing.
Membawa sepanduk bertulis ‘Selamatkan Gaza, cukup semuanya’ dan ‘Gaza sedang mati akibat pembunuhan, kelaparan dan penindasan’, perarakan itu dianjurkan beberapa kesatuan sivil di bandar Gaza.
“Ini adalah mesej jelas, kata-kata sudah tidak memadai, tiba masanya untuk tindakan menghentikan operasi ketenteraan, menghentikan genosid terhadap rakyat kita dan menghentikan pembantaian yang berlaku setiap hari,” kata wartawan Palestin, Tawfik Abu Jarad ketika menyertai protes tersebut.
Kementerian Kesihatan Gaza pula melaporkan sekurang-kurangnya 70 orang terbunuh akibat serangan Israel dalam tempoh 24 jam terakhir, termasuk lapan mangsa dalam sebuah rumah di kawasan Sabra, bandar Gaza. – AGENSI










