Netanyahu tersungkur jika perang Gaza tamat

Netanyahu tersungkur jika perang Gaza tamat

PENDUDUK Palestin menunaikan solat jenazah bagi wartawan dan petugas perubatan yang terkorban akibat bedilan udara tentera Israel di Gaza City. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Berita mengenai penderitaan, kematian dan kezaliman di Gaza ketika ini menjadi rutin dan normal dalam liputan media antarabangsa.

Mana-mana pihak yang mengikuti perkembangan di Gaza, mereka pasti tahu angka korban yang dilaporkan bukan sekadar penunjuk kematian, malah menjadi kayu pengukur mengenai perang yang tidak akan ditamatkan kerana misinya bukan memenangi pertempuran, sebaliknya meneruskan kelangsungan politik dan pengukuhan kuasa.

Sejak Oktober 2023, kerajaan Benjamin Netanyahu segera menyedari menamatkan perang bermakna pengakhiran kerjayanya sebagai pemimpin politik.

Skandal rasuah, krisis legitimasi, perpecahan sosial yang mendalam akibat protes terhadap reformasi kehakiman, serta pakatan rapuh dengan elemen sayap kanan ekstrem, semuanya menjadikan Netanyahu tidak mampu terus berkuasa tanpa satu krisis kekal.

Perang di Gaza memberikannya peluang itu.

Setiap kali rundingan gencatan senjata menunjukkan kemajuan, sayap ekstrem dalam Kabinetnya mengancam untuk menjatuhkan kerajaan.

Dan setiap kali itu berlaku, Netanyahu sama ada mengenakan syarat yang tidak boleh diterima atau meningkatkan serangan untuk menggagalkan rundingan.

Seperti yang digambarkan oleh El País, ini adalah corak ‘pengurusan krisis yang disengajakan demi kelangsungan politik’ iaitu satu krisis yang meragut ribuan nyawa orang awam setiap hari, tetapi menjadi oksigen politik bagi seorang lelaki.

Corak ini bukanlah perkara baharu bagi Israel. Dalam dua dekad lalu, setiap kali Netanyahu menghadapi krisis dalaman, krisis luaran muncul sebagai penyelamat.

Daripada perang Gaza 2014 hingga ketegangan dengan Iran pada 2019, sentiasa ada musuh luar untuk menyatukan pendapat awam Israel buat sementara waktu dan mengalihkan perhatian daripada rasuah serta ketidakcekapan domestik.

Tetapi perang 2023–2025 ini berbeza kerana ia adalah perang paling panjang, paling berdarah, dan paling tidak berhaluan dalam sejarah Israel dan Palestin, sehingga bekas pegawai keselamatan Israel kini menyebutnya sebagai “jurang strategik.”

Ratusan jeneral bersara dan bekas ketua Mossad serta Shin Bet turut menandatangani surat terbuka menyeru kerajaan asing, termasuk Amerika Syarikat (AS), untuk campur tangan dan menamatkan perang ini. Mereka percaya Israel sedang menuju kehancuran, baik dari segi moral mahupun ketenteraan.

Namun, perang ini bukan semata-mata hasil keputusan yang dibuat di Tel Aviv tanpa sokongan tidak bersyarat dari Washington, ia tidak mungkin berterusan.

Sejak hari-hari awal konflik, AS bukan sahaja meluluskan bantuan ketenteraan berbilion dolar serta menghantar bom penembus kubu dan peluru gugur berangkai, malah memveto setiap resolusi

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang menyebut tentang gencatan senjata.

Sokongan membuta tuli ini melindungi Israel daripada tekanan antarabangsa dan meneruskan kitaran keganasan.

HAPUSKAN GENERASI

Agensi Bantuan PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengeluarkan amaran keras kanak-kanak di Gaza sedang mati akibat kebuluran dan serangan bom.

Menerusi kenyataan, UNRWA menyifatkan tindakan Israel yang menyekat kemasukan bantuan kemanusiaan sebenarnya adalah langkah untuk ‘menghapuskan generasi penduduk Palestin di Gaza’.

“Seluruh keluarga, kejiranan, dan satu generasi sedang dilenyapkan. Kegagalan bertindak dan terus berdiam diri adalah satu bentuk keterlibatan. Sudah tiba masanya kenyataan berubah menjadi tindakan dan gencatan senjata segera dilaksanakan,” kata badan itu.

Kenyataan itu menyusul ketika Program Makanan Dunia (WFP) melaporkan tahap kelaparan dan kekurangan zat makanan di Gaza kini berada pada paras tertinggi dalam rekod sejarah.

ISRAEL MAKIN TERASING

Semakin lama perang ini berlarutan, semakin rapuh pakatan sayap kanan ekstrem, dan semakin berpecah masyarakat Israel.

Malah di AS, sokongan kepada Israel semakin dipersoalkan. Tinjauan menunjukkan majoriti Demokrat dan golongan muda AS kini menyokong penamatan bantuan ketenteraan dan mendesak gencatan senjata.

Di peringkat serantau, lanjutan perang ini membawa kesan yang jauh melangkaui Semenanjung Gaza. Semakin lama konflik ini berlarutan, semakin besar legitimasi yang diraih oleh Iran dan paksi penentangannya.

Satu tinjauan antarabangsa terkini oleh Pew Research Cen­ter mendedahkan pandangan dunia terhadap Israel kini lebih negatif berbanding positif, khususnya susulan perang berpanjangan di Gaza.

Majoriti responden di beberapa negara utama melaporkan pandangan tidak menyokong terhadap Israel, termasuk Belanda (78 peratus), Jepun (79 peratus), Sepanyol (75 peratus), Australia (74 peratus), Turkiye (93 peratus) dan Sweden (75 peratus).

Tinjauan ini dijalankan pada awal tahun 2025, dan mencerminkan peningkatan kemarahan global terhadap dasar ketenteraan dan kemanusiaan Israel di Gaza.

Penganalisis politik menyifatkan dapatan ini sebagai satu isyarat jelas legitimasi moral dan diplomatik Israel sedang merosot dengan cepat di mata masyarakat antarabangsa, manakala tekanan terhadap negara-negara Barat untuk menghentikan sokongan tanpa syarat terhadap Tel Aviv semakin meningkat.

Netanyahu mungkin melihat perang ini sebagai penting untuk kelangsungan hidupnya, tetapi kos bagi kelangsungan itu semakin tidak tertanggung, baik untuk Israel mahupun AS.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN