GAZA: Hamas menuduh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sengaja mengorbankan tebusan Israel yang ditahan di Gaza demi kepentingan politik dan ideologinya sendiri.
Tuduhan itu dibuat ketika Netanyahu mempengerusikan mesyuarat Kabinet Keselamatan bagi mengundi cadangan perluasan kempen ketenteraan Israel di Semenanjung Gaza sebelum Knesset bersetuju meluluskan pelan pendudukan Gaza.
“Perancangan Netanyahu untuk meningkatkan serangan jelas menunjukkan niatnya untuk menyingkirkan tebusan dan mengorbankan mereka demi agenda peribadi serta ideologi ekstremnya,” menurut kenyataan rasmi Hamas.
Kumpulan itu juga mengecam wawancara Netanyahu bersama saluran berita Amerika Syarikat, Fox News, yang disiarkan awal semalam. Dalam wawancara itu, Netanyahu menyatakan hasrat Israel untuk mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas Gaza, namun menegaskan Israel tidak berniat mengekalkan pentadbiran di wilayah berkenaan.
Hamas membalas kenyataan tersebut dengan menyifatkannya sebagai lanjutan kepada dasar “genosid dan pengusiran paksa” terhadap rakyat Palestin.
“Penjenayah perang Benjamin Netanyahu merancang meneruskan jenayah terhadap rakyat Palestin di Gaza, dan menyimpang daripada usaha rundingan bagi mencapai gencatan senjata serta pembebasan tebusan yang gagal pada Julai lalu,” kata Hamas.
Di Baitulmuqaddis, ratusan rakyat Israel termasuk bekas tebusan menyertai tunjuk perasaan di hadapan pejabat Netanyahu, menuntut gencatan senjata serta pembebasan baki tebusan yang masih ditahan di Gaza.
Sambil memegang gambar tebusan, penunjuk perasaan melaungkan slogan seperti “Kami akan bawa mereka pulang” dan menggesa perang segera dihentikan.
“Satu-satunya cara untuk menyelamatkan tebusan adalah dengan menghentikan perang ini. Jika Israel kembali menduduki Gaza secara ketenteraan, nyawa para tebusan akan lebih terancam, dan seluruh masyarakat Israel juga akan berada dalam bahaya,” kata Sharon Kangasa-Cohen, seorang penunjuk perasaan yang juga ahli keluarga kepada tebusan, kepada agensi AFP.
Turut kelihatan dalam demonstrasi itu ialah bekas Timbalan Datuk Bandar Baitulmaqdis, Pepe Alalu, yang menyeru agar kerajaan bertindak segera menyelamatkan tebusan.











