TEL AVIV: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa tenteranya mampu mengebom Gaza sebagaimana tentera Britain dan Amerika Syarikat (AS) mengebom bandar Dresden, Jerman, ketika Perang Dunia Kedua.
Kenyataan itu dibuat dalam wawancara bersama rangkaian televisyen berhaluan kanan Amerika Syarikat (AS), Newsmax, pada Rabu lalu.
“Kami boleh mengebom mereka seperti pihak Bersekutu mengebom Dresden. Kami boleh membuat mereka kebuluran jika kami ikut fitnah dan pembohongan terhadap Israel, dan ketika itu sudah tiada sesiapa yang hidup di sana,” ujar Netanyahu ketika ditanya mengapa tentera Israel tidak menghapuskan Hamas dan Semenanjung Gaza sepenuhnya.
Beliau turut mengakui insiden serangan pada 7 Oktober lalu melibatkan kegagalan dan kesilapan perisikan.
Netanyahu menjelaskan Israel kini berperang di lapan medan, tujuh daripadanya menentang Iran dan proksinya, manakala medan kelapan adalah apa yang beliau sebut sebagai perjuangan untuk kebenaran.
Menurutnya, satu-satunya kebuluran yang disengajakan di Gaza adalah terhadap tebusan Israel.
Beliau mendakwa keadaan fizikal tebusan yang lemah berbanding penculik mereka yang kelihatan sihat menjadi bukti kepada dakwaannya.
Perbandingan itu, katanya, bertujuan mendedahkan pembohongan yang dikaitkan dengan medan kelapan iaitu perjuangan menegakkan kebenaran.
Netanyahu menegaskan Tel Aviv tidak mengamalkan dasar kebuluran dan tetap berpegang kepada polisi memisahkan orang awam daripada pejuang di dua medan yang berbeza. -AGENSI










