Lithuania latih kanak-kanak kendali dron hadapi ancaman Russia

Lithuania latih kanak-kanak kendali dron hadapi ancaman Russia

MODUL latihan kendalian dron akan disesuaikan mengikut peringkat umur kanak-kanak. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VILNIUS: Lithuania akan melaksanakan program khas melatih kanak-kanak membina dan mengendalikan dron sebagai langkah meningkatkan keupayaan negara menghadapi ancaman masa depan daripada Russia.

Inisiatif bersama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan negara itu menyasarkan lebih 22,000 rakyat, termasuk pelajar sekolah, untuk mengasah bakat kemahiran dron bagi memperluas latihan pertahanan awam.

Modul latihan akan disesuaikan mengikut peringkat umur di mana murid berusia antara lapan hingga 10 tahun akan diajar membina serta menerbangkan dron asas, manakala pelajar sekolah menengah pula akan mempelajari reka bentuk, pembuatan komponen, pembinaan dan penerbangan dron berteknologi tinggi.

Lithuania yang berpopulasi 2.8 juta penduduk dan bersempadan dengan Russia, serta Belarus yang merupakan sekutu Moscow, berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak pencerobohan besar-besaran negara terbabit terhadap Ukraine.

Tindakan itu disusuli perkembangan terbaharu di Estonia apabila negara tersebut mengusir seorang diplomat Russia bagi dakwaan campur tangan berterusan dalam urusan dalaman.

Di Lithuania, kerajaan memperuntukkan 3.3 juta euro (RM16 juta) bagi pembelian peralatan khusus termasuk dron pandangan orang pertama (FPV) untuk kegunaan dalam dan luar bangunan, sistem kawalan serta penghantaran video, selain aplikasi mudah alih bagi latihan kenderaan udara tanpa pemandu (UAV).

Menteri Pertahanan Lithuania, Dovilė Šakalienė berkata, menjelang 2028 seramai 15,500 orang dewasa dan 7,000 kanak-kanak dijangka menguasai kemahiran mengendalikan dron.

Tiga pusat kawalan dron akan dibuka pada September ini di Jonava, Tauragė dan Kėdainiai, diikuti enam lagi pusat latihan menjelang 2028.

Latihan itu akan dijalankan oleh Kesatuan Penembak Lithuania dengan kerjasama Agensi Pendidikan Bukan Formal negara tersebut, melibatkan sesi kokurikulum di sekolah rendah dan menengah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×