Lelaki warga Kemboja ditahan di Thailand, didakwa lakukan aktiviti perisikan - Utusan Malaysia

Lelaki warga Kemboja ditahan di Thailand, didakwa lakukan aktiviti perisikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SA KAEO: Pihak berkuasa keselamatan Thailand bertindak tegas dalam menangani kegiatan pengintipan apabila seorang lelaki warga Kemboja ditahan pada Jumaat lalu atas dakwaan menjadi perisik dan menyalurkan maklumat ketenteraan sensitif kepada negara asalnya.

Suspek yang identitinya dirahsiakan kerana siasatan masih berjalan, ditahan dalam operasi bersepadu yang dijalankan di daerah Ta Phraya, wilayah Sa Kaeo berhampiran sempadan Kemboja.

Menurut pihak polis, suspek menerima bayaran harian sebanyak 20,000 riel Kemboja (RM 21.10) sebagai balasan bagi setiap maklumat yang disalurkan.

Penangkapan itu hasil kerjasama erat antara pasukan keselamatan kampung Chor Ror Bor dan Pasukan Petugas Ta Phraya, yang telah lama menjalankan pemantauan rapi terhadap aktiviti mencurigakan di kawasan sempadan.

Susulan penahanan, suspek dilaporkan mengaku terlibat dalam kegiatan perisikan dan telah menyalurkan maklumat berkaitan operasi keselamatan Thailand kepada pihak tertentu di Kemboja.

Kes berkenaan telah diserahkan kepada pihak berkuasa lebih tinggi untuk tindakan undang-undang lanjut, lapor portal KhaoSod.

Sebagai penghargaan atas kecekapan dan kecekalan pasukan keselamatan kampung dalam menjaga keselamatan sempadan, Pasukan Petugas Ta Phraya telah menyampaikan sijil penghargaan kepada pasukan Chor Ror Bor.

Langkah itu dilihat sebagai pengiktirafan kepada usaha mereka memperkukuh pertahanan negara dalam suasana ketegangan semasa di kawasan sempadan Thailand-Kemboja. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN