LONDON: Kecederaan akibat bom dan peluru tentera Israel menyumbang hampir separuh daripada jumlah rawatan pesakit luar yang dikendalikan oleh pertubuhan perubatan Médecins Sans Frontières (MSF) di Gaza tahun lalu, menurut data yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet.
Angka itu turut mendedahkan hampir satu per tiga daripada pesakit luar yang dirawat akibat kecederaan tersebut adalah kanak-kanak, sekali gus menonjolkan lagi impak kemanusiaan yang mengerikan ke atas penduduk awam Palestin selepas hampir dua tahun konflik berterusan.
Data dikumpul dari enam pusat kesihatan yang disokong MSF, kebanyakannya terletak di bahagian tengah dan selatan Gaza.
Sepanjang tahun 2024, lebih 200,000 sesi rawatan pesakit luar dijalankan di kemudahan ini, dengan lebih 90,000 daripadanya melibatkan kecederaan, hampir 40,000 berpunca daripada trauma keganasan khususnya akibat pengeboman, bedilan dan tembakan.
Angka ini tidak termasuk perkhidmatan kesihatan lain yang disediakan oleh MSF seperti bilik bedah dan unit kecemasan, serta tidak mengambil kira mangsa yang maut di lokasi serangan.
Menurut The Lancet, di dua hospital yang terlibat, hampir 60 peratus kecederaan pada anggota bawah badan berpunca daripada senjata letupan, yang sering melibatkan kecederaan terbuka pada tulang, otot atau kulit.
“Senjata letupan direka untuk digunakan di medan perang terbuka, namun kini semakin kerap digunakan di kawasan bandar.
“Tempat perlindungan sementara yang didiami penduduk selepas berulang kali dipindahkan hampir tidak memberi perlindungan daripada senjata letupan, terutamanya kesan sekunder seperti letupan, serpihan logam dan impak berapi,” tambah laporan itu.
Serangan ketenteraan Israel di Gaza yang telah digambarkan sebagai satu bentuk genosid oleh banyak pertubuhan dan kerajaan antarabangsa, telah meragut hampir 63,000 nyawa rakyat Palestin, separuh daripadanya wanita dan kanak-kanak menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Daripada semua pesakit luar yang dirawat di kemudahan MSF tahun lalu, hampir satu pertiga adalah kanak-kanak bawah usia 15 tahun, manakala satu pertiga lagi adalah wanita.
Data tersebut dikumpulkan sebelum pihak berkuasa Israel mengenakan sekatan sepenuhnya ke atas Gaza pada awal tahun ini, yang menyebabkan bekalan makanan dan bantuan perubatan terhenti.
Namun, sebelum sekatan itu pun, kakitangan MSF yang mengumpul data berkenaan sudah pun melaporkan kekurangan bekalan penting dan peralatan yang diperlukan untuk merawat kecederaan kompleks ini.
Hampir satu perlima daripada pesakit yang datang buat kali pertama untuk rawatan kecederaan didapati mengalami luka yang telah dijangkiti, menurut data itu.
“Di salah satu fasiliti kesihatan yang disokong MSF, kadar jangkitan luka mencecah setinggi 28 peratus,” kata laporan tersebut. -AGENSI










