BANGKOK: Kerajaan Thailand akan menyalurkan pampasan kepada dua pelancong Malaysia yang menjadi mangsa serangan bakar oleh seorang lelaki di Jalan Ratchadamri, Bangkok pada malam Khamis lalu.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand, Natreeya Taweewong, dalam satu kenyataan pada Isnin, menegaskan komitmen kerajaan untuk memberikan rawatan dan bantuan terbaik kepada kedua-dua mangsa sehingga mereka selamat kembali ke tanah air.
“Kementerian akan menyediakan bantuan di bawah skim pampasan kerajaan Thailand, termasuk menanggung kos rawatan perubatan serta bayaran pampasan atas tekanan emosi yang dialami mangsa,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan akan membayar balik kos rawatan perubatan berdasarkan resit yang dikemukakan, sehingga maksimum 500,000 baht (RM65,213).
Pampasan tambahan sebanyak 50,000 baht (RM6,521) akan diberikan bagi tekanan emosi, menjadikan jumlah maksimum pampasan mencecah 550,000 baht (RM71,733) bagi setiap mangsa.
Natreeya turut menyatakan kerajaan akan mempertimbangkan bantuan tambahan berdasarkan keperluan kes, tertakluk kepada penilaian doktor yang merawat.
“Kementerian, dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan, akan memastikan kedua-dua mangsa mendapat rawatan terbaik, termasuk sokongan logistik dan bantuan psikologi,” tambahnya.
Setakat ini, keadaan kedua-dua mangsa dilaporkan bertambah baik.
Pelancong wanita tersebut sudah boleh berkomunikasi melalui tulisan. Bagaimanapun, walaupun keluarga mangsa menyatakan hasrat untuk membawa mereka pulang ke Malaysia bagi rawatan lanjut, doktor tidak mengesyorkan pemindahan pada masa ini.
“Oleh itu, mereka akan terus menerima rawatan di Thailand buat sementara waktu,” katanya.
Dalam kejadian sekitar pukul 10 malam Khamis lalu, seorang lelaki didakwa menyiram cecair mudah terbakar sebelum menyalakan api ke atas dua warga Malaysia, Gan Xiao Zhen, 27, dan Ong Yik Leong, 26, berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri.
Gan kini dirawat di Hospital Memorial King Chulalongkorn selepas mengalami lecur tahap dua pada 36 peratus anggota badan termasuk muka, dada dan lengan.
Sementara itu, Ong masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Polis akibat lecur tahap dua di bahagian atas badan, depan dan belakang.










