Kerajaan AS mungkin ambil pegangan lebih banyak syarikat - Rumah Putih - Utusan Malaysia

Kerajaan AS mungkin ambil pegangan lebih banyak syarikat – Rumah Putih

tarif
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Penerimaan kerajaan Amerika Syarikat (AS) terhadap pegangan 10 peratus saham dalam syarikat Intel dianggap sebagai satu kes khas, namun langkah itu boleh menjadi permulaan kepada lebih banyak transaksi serupa dalam sektor teknologi dan industri lain, kata Pengarah Majlis Ekonomi Nasional Rumah Putih, Kevin Hassett, pada Isnin.

“Saya fikir ini adalah keadaan yang sangat khusus kerana jumlah besar dana Akta Cip yang telah disalurkan kepada Intel,” kata Hassett kepada CNBC, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.

Katanya, Presiden AS, Donald Trump, telah lama menyuarakan pandangan AS wajar membangunkan dana kekayaan negara, dan transaksi seumpama ini selari dengan matlamat tersebut.

“Saya pasti akan ada lebih banyak transaksi seperti ini pada masa hadapan, sama ada dalam sektor ini atau dalam industri lain,” katanya.

Hassett menjelaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Intel, dana di bawah Akta Cip digunakan seperti dirancang dan tidak hilang begitu sahaja.

Malah, pembayar cukai AS memperoleh pegangan ekuiti dalam syarikat itu, menjadikan pelaburan tersebut lebih menguntungkan secara langsung kepada rakyat.

Dalam kenyataan berasingan di platform Truth Social, Trump berkata beliau tidak membayar apa-apa untuk pegangan tersebut, sambil menyifatkan nilai pegangan AS dalam Intel kini mencecah sekitar AS$11 bilion.

“Saya bayar sifar untuk Intel. Nilainya sekitar AS$11 bilion. Semuanya untuk Amerika Syarikat. Kenapa masih ada orang ‘bodoh’ yang tidak puas hati?” tulisnya.

“Saya akan terus buat perjanjian seperti ini untuk negara kita. Saya juga akan bantu syarikat yang membuat perjanjian lumayan dengan Amerika Syarikat,” katanya.

Pada Jumaat lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Intel Corporation bertemu Trump bagi mengumumkan pelaburan bernilai AS$8.9 bilion oleh kerajaan AS dalam syarikat teknologi gergasi tersebut, sebahagian daripada usaha memperkukuh sektor semikonduktor domestik dan mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×