MINSK: Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menegaskan kemampuan pertahanan peluru berpandu yang dimiliki republik itu menjadi faktor utama menghalang negaranya daripada mengalami nasib malang seperti dialami penduduk Gaza.
Berucap di hadapan komuniti rakyat Iran di Belarus, Pezeshkian berkata tanpa keupayaan tersebut, Iran mungkin sudah lama menjadi sasaran serangan berterusan seperti yang berlaku di Semenanjung Gaza.
“Jika kita tidak mempunyai kekuatan peluru berpandu, keadaan kita akan sama seperti Gaza. Kita mesti terus memperkukuh pertahanan kerana Israel bebas melakukan kezaliman dan jenayah di rantau ini tanpa sebarang penghalang,” katanya.
Beliau menegaskan keupayaan ketenteraan dan pertahanan Iran bukan sahaja sebagai benteng keselamatan negara, malah kunci kepada kestabilan dalam menghadapi ancaman luar.
Mengimbas suasana ketika mula memegang jawatan, Pezeshkian berkata kepimpinannya bermula dalam keadaan genting, termasuk insiden pembunuhan pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh, serta ketegangan yang berlarutan di rantau itu.
“Kita mesti terus teguh mempertahankan prinsip dan nilai kita,” ujarnya.
Dalam ucapannya, Pezeshkian turut menekankan kepentingan warisan sejarah Iran yang telah berakar umbi sejak ribuan tahun.
“Iran bukan negara baharu. Kita mempunyai sejarah panjang. Tugas kita adalah menghidupkan kembali budaya dan keyakinan ini, serta memperkasakan generasi muda agar mereka memperoleh pengiktirafan yang sepatutnya,” katanya.
Beliau turut mengecam kekejaman tentera Israel terhadap rakyat Palestin.
“Entiti Zionis (Israel) telah melakukan jenayah kejam terhadap rakyat Palestin, meragut lebih 60,000 nyawa di hadapan mata dunia,” tegasnya.










