'Jangan lupakan genosid di Gaza ketika dunia mahu iktiraf negara Palestin' - Utusan Malaysia

‘Jangan lupakan genosid di Gaza ketika dunia mahu iktiraf negara Palestin’

palestin
Seorang wanita Palestin menggunakan ayak di atas pasir ketika dia mencari kekacang atau beras di Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza semasa misi airdrop di atas wilayah Palestin yang dikepung oleh Israel pada 5 Ogos 2025. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Tebing Barat dan Gaza, Francesca Albanese memberi amaran bahawa langkah mengiktiraf negara Palestin tidak seharusnya mengalih perhatian negara anggota daripada menghentikan kematian dan kebuluran besar-besaran di Gaza.

“Sudah tentu penting untuk mengiktiraf negara Palestin. Tidak masuk akal mereka belum melakukannya sejak dulu,” kata Francesca Albanese kepada The Guardian selepas beberapa lagi negara mengumumkan rancangan mengiktiraf Palestin yang merdeka sebagai respons terhadap kebuluran yang semakin parah di Gaza.

Bagaimanapun, beliau berpendapat perdebatan panjang mengenai kenegaraan Palestin setakat ini tidak membawa kemajuan politik, sebaliknya membolehkan peluasan penempatan haram Israel di wilayah diduduki yang hampir menghapuskan peluang pembentukan negara Palestin.

“Wilayah itu secara literal telah diceroboh dan dihakis oleh kemaraan aneksasi dan penjajahan,” katanya.

Minggu ini, Australia menyertai United Kingdom, Kanada, Perancis dan beberapa negara lain dalam menyatakan komitmen untuk mengiktiraf negara Palestin pada Perhimpunan Agung PBB bulan depan.

Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese menyifatkan penyelesaian dua negara sebagai harapan terbaik manusia untuk memutuskan kitaran keganasan di Asia Barat.

Namun, Francesca memberi amaran bahawa dorongan baharu untuk mengiktiraf kenegaraan Palestin tidak boleh mengalihkan perhatian daripada isu utama iaitu pembunuhan beramai-ramai (genosid).

Beliau menyeru embargo ke atas semua penjualan senjata kepada Israel dan penghentian perjanjian perdagangan selain mendesak negara haram itu bertanggungjawab atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang mana Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mendakwa beberapa pegawai tertinggi Israel.

Beliau turut menuntut pengunduran sepenuhnya Israel dari wilayah diduduki menjelang tarikh akhir 17 September seperti ditetapkan Perhimpunan Agung PBB.

“Menyelesaikan isu Palestin selaras dengan undang-undang antarabangsa adalah sesuatu yang mungkin dan perlu. Hentikan genosid hari ini, tamatkan pendudukan kekal tahun ini, dan hapuskan apartheid.

“Itulah jaminan kebebasan dan hak sama rata untuk semua orang, tidak kira sama ada mereka mahu hidup dalam dua negara atau satu negara, mereka sendiri yang akan menentukan,” katanya.

Bulan lalu, pentadbiran Trump mengenakan sekatan terhadap Albanese berikutan sokongan lantangnya terhadap hak Palestin dan disifatkan pegawai AS sebagai promosi memalukan tindakan ICC terhadap pegawai Israel. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN