'Israel sudah bunuh dan bisukan suara saya, jangan lupakan Gaza' - Utusan Malaysia

‘Israel sudah bunuh dan bisukan suara saya, jangan lupakan Gaza’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Wartawan tersohor Al Jazeera, Anas al-Sharif, terbunuh dalam serangan udara Israel yang menyasarkan khemah media berhampiran Hospital al-Shifa di Gaza City pada Ahad.

Serangan tersebut meragut nyawa lima kakitangan media, termasuk Anas, dalam insiden yang disifatkan sebagai serangan terancang ke atas wartawan.

Anas, 28, dikenali sebagai antara suara paling lantang dari Gaza, kerap melaporkan secara langsung dari zon konflik paling berbahaya. Beliau terbunuh bersama wartawan Mohammed Qreiqeh serta tiga jurukamera—Mohammed Noufal, Ibrahim Zaher dan Moamen Aliwa.

Pengarah Hospital al-Shifa, Dr Muhammad Abu Salmiya, mengesahkan serangan itu turut merosakkan jabatan kecemasan hospital dan menyebabkan tujuh kematian keseluruhan.

“Khemah media itu dibom secara langsung. Mereka tiba di jabatan kecemasan dalam keadaan parah, namun gagal diselamatkan,” katanya.

Beberapa jam sebelum kematiannya, Anas sempat memuat naik video menunjukkan serangan udara berterusan ke akaun media sosialnya. Dalam satu hantaran di platform X, dia menulis:

“Pengeboman tidak berhenti… sejak dua jam lalu, serangan Israel semakin intensif di Bandaraya Gaza.”

Namun, mesej yang paling menyentuh hati hanya muncul selepas pemergiannya , satu catatan terakhir di akaun Instagram peribadinya:

“Ini adalah wasiat terakhir saya. Jika kata-kata ini sampai kepada anda, ketahuilah Israel berjaya membunuh saya dan membisukan suara saya. Jangan lupakan Gaza… dan jangan lupakan saya dalam doa kalian,” tulisnya.

Tentera Israel mendakwa Anas mengetuai sel Hamas yang menyamar sebagai wartawan dan terlibat dalam operasi pelancaran roket — dakwaan yang ditolak keras oleh Al Jazeera dan organisasi hak asasi seperti Committee to Protect Journalists (CPJ).

“Ini adalah tuduhan tidak berasas dan satu cubaan untuk menghalalkan pembunuhan wartawan,” tegas CPJ dalam satu kenyataan rasmi.

Al Jazeera pula menyifatkan serangan itu sebagai sebahagian daripada “cubaan sistematik untuk membungkam kebenaran” dan menyeru komuniti antarabangsa untuk melindungi wartawan yang bertugas di zon konflik.

“Jangan biarkan suara Gaza dibisukan. Wartawan kami adalah saksi kepada penderitaan yang tidak boleh dinafikan,” kata rangkaian media itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN