JAKARTA: Indonesia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menggunakan sistem peluru berpandu balistik taktikal sekaligus memperkukuh keupayaan tempur jarak dekat negara itu, menurut laporan pemerhati ketenteraan di Kalimantan Timur.
Beberapa imej yang memaparkan peluru berpandu KHAN buatan syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan mula tular dalam laman Facebook Sahabat Keris pada Jumaat lalu dan kemudiannya dilaporkan secara meluas oleh blog pertahanan serta portal berita Indonesia, Kompas.
Foto-foto tersebut menunjukkan peluru berpandu itu berada di atas pelancar di fasiliti Raipur A milik Tentera Darat Indonesia di Kalimantan Timur.
Peluru berpandu balistik merupakan senjata yang digerakkan menggunakan roket dan boleh dilengkapi dengan hulu ledak nuklear atau konvensional. KHAN, yang berukuran 7.1 meter panjang dan berdiameter 610 milimeter (mm), mempunyai jarak tembakan sejauh 280 kilometer (km).
Roketsan menyatakan senjata itu seberat 2,500 kilogram(kg) dan membawa hulu ledak berkuasa tinggi seberat 470kg.
Peluru berpandu ini juga dikatakan memiliki ketepatan tinggi dengan margin kesilapan bulatan (CEP) kurang daripada 10 meter, memberikan keupayaan tembakan tepat dan berkesan terhadap sasaran strategik di medan pertempuran.
Antara sasaran berpotensi termasuk sistem artileri dan pertahanan udara, tapak radar serta kemudahan logistik.
Menurut portal pertahanan Defence Security Asia, jarak tembakan KHAN membolehkan Indonesia memanjangkan jarak serangan ke dalam kawasan maritim yang menjadi pertikaian.










