India cadang pecat menteri dipenjarakan 30 hari atau lebih - Utusan Malaysia

India cadang pecat menteri dipenjarakan 30 hari atau lebih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW DELHI: Kerajaan India pada Rabu membentangkan satu rang undang-undang (RUU) baharu yang membolehkan pemecatan ahli politik kanan sekiranya mereka ditahan dan dipenjarakan selama 30 hari atau lebih.

Langkah itu mendapat kecaman hebat daripada parti pembangkang yang menyifatkannya sebagai satu usaha untuk menakut-nakutkan pemimpin lawan serta melemahkan perlindungan yang dijamin oleh Perlembagaan negara.

Beberapa pemimpin pembangkang, termasuk dua Ketua Menteri negeri, telah disiasat dan didakwa atas pelbagai kes jenayah dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Antaranya ialah Arvind Kejriwal, bekas Ketua Menteri Delhi, yang ditahan selama beberapa bulan atas tuduhan rasuah berkaitan pengagihan lesen arak.

Kejriwal menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa ia adalah sebahagian daripada pemburuan politik oleh kerajaan pimpinan Parti Bharatiya Janata (BJP) yang diketuai Perdana Menteri Narendra Modi.

Turut ditahan ialah Ketua Menteri Jharkhand, Hemant Soren, dari parti pembangkang yang lain, yang ditangkap pada Februari 2024 atas tuduhan rasuah, namun beliau juga menafikan sebarang salah laku.

Menteri Dalam Negeri India, Amit Shah, yang membentangkan RUU tersebut di Parlimen, berkata langkah itu bertujuan untuk “meningkatkan nilai etika dalam politik.”

Menurut cadangan RUU itu, mana-mana ahli politik yang ditahan selama lebih 30 hari dan menghadapi pertuduhan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau lebih, perlu melepaskan jawatan mereka serta-merta.

Namun begitu, langkah ini turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pemerhati dan ahli politik pembangkang. John Brittas dari Parti Komunis India (Marxis) memberi amaran bahawa RUU ini boleh disalah guna dalam konteks “politik dendam”, dengan agensi kerajaan digunakan untuk menekan pemimpin lawan.

Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, menyifatkan langkah itu sebagai “cubaan menakutkan untuk mencengkam kuasa, memadam semakan kehakiman, meruntuhkan perlindungan Perlembagaan, dan menindas hak rakyat.”

“RUU ini adalah loceng kematian kepada demokrasi dan sistem persekutuan India,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pembaharuan Demokrasi India melaporkan bahawa hampir separuh daripada 543 ahli Parlimen India sedang berdepan pelbagai tuduhan jenayah. Daripada 215 kes yang dikenal pasti, 170 daripadanya melibatkan pertuduhan serius seperti rogol, pembunuhan, cubaan membunuh, dan penculikan.

Dalam laporan terdahulu, badan pemikir Amerika Syarikat, Freedom House, menyatakan kerajaan Modi kerap menggunakan institusi kerajaan untuk melemahkan pihak pembangkang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN