Imej sotong Antartika jarang ditemukan dirakam di Lautan Selatan

Imej sotong Antartika jarang ditemukan dirakam di Lautan Selatan

SPESIES sotong unik yang dikenali sebagai Antarctic gonate squid itu dikesan pada kedalaman lebih 2,152 meter di perairan beku Antartika. - AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARTIKA: Buat pertama kali dalam sejarah, saintis dapat merakam pergerakan sotong Antartika yang jarang ditemui jauh di dasar Lautan Selatan.

Spesies unik yang dikenali sebagai Antarctic gonate squid itu dikesan pada kedalaman lebih 7,000 kaki (2,152 meter) di perairan beku Antartika.

Sotong berwarna merah darah dengan sesungut bercangkuk ini dianggarkan sepanjang satu meter.

Penemuan bersejarah itu dilakukan oleh pasukan penyelidik di atas kapal penyelidikan milik Schmidt Ocean Institute, R/V Falkor (too).

Pada asalnya mereka merancang untuk meneroka kehidupan marin di Kawah Powell Basin sedalam 3,000m namun, laluan terhalang oleh ais laut tebal menyebabkan mereka terpaksa menurunkan kenderaan kawalan jauh (ROV) SuBastian yang akhirnya menemukan sotong misteri tersebut.

Rakaman yang dihantar kepada pakar sotong dari Universiti Teknologi Auckland, Dr Kat Bolstad, disahkan sebagai gonate squid Antartika.

“Setakat pengetahuan saya, ini adalah rakaman hidup pertama spesies ini di dunia,” katanya kepada National Geographic.

Walaupun spesies ini sudah dikenal pasti lebih 100 tahun lalu, semua maklumat sebelum ini hanya berdasarkan spesimen mati sama ada terperangkap dalam jaring nelayan atau ditemui di dalam perut pemangsa laut.

Ahli sains percaya sotong ini menghabiskan sebahagian besar hidup mereka di zon midnight atau bathypelagic, iaitu di kedalaman antara 1,000 hingga 4,000m, di mana tiada cahaya matahari menembusi dasar laut.

Satu-satunya cahaya di kawasan itu datang daripada makhluk laut bioluminesen yang turut mendiami persekitaran ekstrem tersebut.

Penemuan ini bukan sahaja memberikan peluang melihat spesies yang selama ini kekal misteri, tetapi juga membuka ruang baharu untuk memahami bagaimana hidupan laut dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran yang mencabar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN